Benjamin Mora Jelaskan Punca JDT Gagal Berpesta Gol Ke Atas Kelantan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan kemenangan 2-0 ke atas Kelantan FC pada Isnin.

Jaringan penalti Bergson da Silva dan Safawi Rasid mengesahkan tiga mata buat skuad harimau selatan namun apa yang menjadi bualan adalah kegagalan mereka menjaringkan lebih banyak gol mengambil kira perbezaan reputasi yang terlalu jauh.

JDT adalah juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan pilihan utama pertandingan manakala Kelantan pula menamatkan musim ini di tangga keenam Liga Premier.

Mengenai kegagalan pasukannya menjaringkan lebih banyak gol, Benjamin Mora memberitahu ia kerana Kelantan mengamalkan corak permainan yang sentiasa berlari dan pantas menutup ruang apabila pemain JDT mengawal bola.

“Kelantan beraksi tanpa memikirkan untuk menang atau kalah dengan mereka gemar berlari dan kerap mengasak pemain JDT apabila pemain saya mengawal bola dan sebab itu kami kerap hilang bola.

“Bukan kami tidak boleh jaringkan, malah kami ada sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk meletak bola di dalam jaring pada babak pertama menerusi percubaan Shane (Lowry) dan Bergson (Da Silva) yang terkena palang dan jika kedua-dua percubaan itu berjaya dihasilkan kami akan mendahului 3-0 pada babak pertama.

“Hanya sedikit sahaja masalah yang kami hadapi iaitu tidak menjaringkan gol di awal permainan dan semuanya bergantung kepada nasib dan mungkin malam ini (malam tadi) nasib kurang menyebelahi kami tapi kami tetap menguasai permainan,” kata Benjamin Mora.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kelantan, Reezal Zambery Yahya memberikan kredit kepada penjaga gol, Farizal Harun yang tampil luar biasa untuk menyelamatkan gawang daripada dibolosi selepas diasak bertali arus barisan pemain JDT.

“Farizal menjalankan tugas dengan baik dan memainkan peranan penting sepanjang 90 minit perlawanan apabila kerap memberi arahan kepada benteng supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman serangan pemain JDT.

“Dia pantas mengarahkan pemain pertahanan menutup ruang malah kerap menyelamat bola yang mampu menghasilkan gol menerusi gerakan berbahaya pemain JDT dan saya berpuas hati dengan komitmennya sepanjang perlawanan itu,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.