Benjamin Mora Kini Sama Hebat Dengan K.Devan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dengan membawa Johor Darul Takzim muncul juara Liga Super 2021, Benjamin Mora berjaya meletakkan dirinya sebagai jurulatih paling berjaya dalam sejarah Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004.

Ini adalah kejuaraan Liga Super ketiga buat pengendali dari Mexico itu, menyamai pencapaian dilakukan oleh K.Devan bersama Negeri Sembilan (2005) dan Selangor (2009 dan 2010).

Berita berkaitan : Kisah K.Devan Julang Liga Super Tiga Kali Dalam Lima Musim

Sebelum ini Benjamin Mora membantu JDT menjulang kejuaraan Liga Super pada 2019 dan 2020, manakala Luciano Figueroa bertindak sebagai pengurus pasukan.

Sebagai rekod, Benjamin Mora dibawa masuk ke Liga Malaysia sebagai jurulatih JDT II pada 2016, sebelum dilantik sebagai jurulatih JDT pada musim 2017 menggantikan Mario Gomez.

Namun pada pertengahan tahun 2017, Benjamin Mora kembali ke skuad JDT II dan digantikan oleh Ulisses Morais yang kemudiannya membawa pasukan JDT muncul juara liga buat kali keempat berturut-turut.

Benjamin Mora yang pernah dihantar berguru di Atletico Madrid kembali dilantik sebagai jurulatih JDT pada 2019 menggantikan Raul Longhi dan kini dia sudah memahat nama dalam catatan sejarah.

Sementara itu, ini reaksi Benjamin Mora selepas JDT mengesahkan kejuaraan kelapan mereka dengan menewaskan Sri Pahang 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

“Kritikan penyokong juga banyak membantu terutama di dalam meningkatkan motivasi pemain. Bagi saya itu perkara biasa kerana penyokong ada hak untuk mengkritik dan kami memerlukan mereka untuk memberi sokongan kerana tanpa mereka ibarat `makan nasi kosong tanpa berlauk’ dan itu tidak seharusnya berlaku.

“Malah, kritikan penyokong beri ruang untuk saya mengkaji corak permainan yang lepas dan berfikir untuk memantapkan lagi pasukan kerana saya bukanlah seorang jurulatih yang serba lengkap dan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Jika kami menang saya bukanlah yang terbaik dan jika kami tewas saya bukanlah jurulatih yang teruk. Bagi saya itu adalah asam garam sebagai jurulatih dan pencapaian saya akan dinilai di penghujung liga, malah tugas saya untuk beri yang terbaik kepada penyokong,” ujar Benjamin Mora.

Tambahnya lagi, “Bukan mudah untuk meraih kemenangan kerana banyak rintangan yang perlu dilepasi terutama kecederaan pemain utama dan penggantungan pemain.

“Namun, kami memiliki Bos (Tunku Ismail) yang sentiasa beri sokongan bukan sahaja faktor kewangan tapi faktor mental dan fizikal pemain, malah ia beri impak positif terhadap persembahan pemain di padang kerana dalam bola sepak semua itu penting jika mahu berjaya.

“Justeru, kami perlu memulangkan apa jua usaha Tunku Ismail bagi meningkatkan mutu kelab ini dengan memastikan kejuaraan liga milik JDT dan ia adalah satu kepuasan buat saya. Kami begitu taksub untuk menang dan kami lakukan dengan muncul juara.”

Senarai ketua jurulatih yang membimbing JDT menjuarai Liga Super :

2014 : Bojan Hodak
2015 : Mario Gomez
2016 : Mario Gomez
2017 : Ulisses Morais
2018 : Raul Longhi
2019 : Benjamin Mora
2020 : Benjamin Mora
2021 : Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.