Benjamin Mora : “Pemain Saya Tahu Apa Perlu Dilakukan Untuk Menang”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim (JDT) Benjamin Mora menyanjung tinggi barisan pemainnya selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Uitm FC dalam aksi Liga Super 2021 pada Ahad.

Skuad harimau selatan bermula dengan goyah dalam aksi pertama Liga Super selepas lebih dua bulan itu dan ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama menerusi jaringan Joel Vinicius Silva pada minit ke-43.

JDT bagaimanapun bangkit meledak tiga jaringan di separuh masa kedua menerusi Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Bergson Da Silva dan ia ternyata membanggakan Benjamin Mora tatkala keputusan itu membantu mereka terus unggul sebagai pendahulu liga.

Meskipun mengakui mereka belum menterjemahkan prestasi terbaik namun Benjamin Mora menyifatkan pemainnya menunjukkan kepada semua bahawa mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk kembali dalam permainan.

“Pada awal perlawanan, malangnya perkara yang saya tidak mahu berlaku di mana lawan berjaya menjaringkan gol pertama.

“Saya boleh katakan UiTM FC melakukan tugas yang cukup baik, mereka benar-benar berjuang untuk mencari peluang menambah jaringan.

“Tetapi, apa yang penting adalah bagaimana pemain saya melakukan kebangkitan dan mereka menunjukkan bahawa mereka tahu tugas dan tanggungjawab, apa yang perlu dilakukan untuk kembali ke dalam permainan, berada di depan dan seterusnya menang perlawanan ini”, kata Benjamin Mora selepas perlawanan.

Kemenangan kesepuluh buat JDT daripada 14 perlawanan yang telah diharungi menyaksikan mereka mengumpul 33 mata, tiga mata mengatasi pasukan tangga kedua Terengganu FC yang turut berada pada prestasi terbaik mereka ketika ini.

Terengganu FC melaungkan amaran betapa mereka tidak mahu memberi laluan mudah kepada JDT untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim kelapan setelah membelasah Perak FC 5-0 pada Sabtu.

Kedah Darul Aman FC yang berada di tangga ketiga beraksi kurang satu perlawanan berikutan aksi menentang Penang FC yang sepatutnya berlangsung juga pada Sabtu lalu terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Aksi seterusnya buat JDT adalah menentang pasukan tangga kelima Selangor FC di Petaling Jaya pada Rabu ini. Sebagai rekod pasukan bimbingan Karsten Neitzel itu tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.