Johor Darul Takzim membuktikan kelas mereka apabila bersahaja membelasah Perak 7-0 dalam aksi keenam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.
Kemenangan menerusi jaringan hatrik Gonzalo Cabrera dan masing-masing satu gol menerusi Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menyaksikan skuad Harimau Selatan unggul di tangga teratas dengan 16 mata.
Mencatat kemenangan besar ke atas salah satu pasukan yang dilabel pasukan tumpuan dan pencabar kejuaraan pastinya sesuatu yang menakjubkan, tetapi pengendali JDT Benjamin Mora kekal tenang dan tetap menganggap ia adalah satu perlawanan yang cukup sukar.
“Mungkin ia kemenangan yang besar, menang tujuh gol ke atas pasukan seperti Perak adalah mengujakan tetapi saya perlu mengakui ia bukan perlawanan yang mudah.
“Kita berdepan kesukaran kerana Mehmet (Durakovic) tahu bagaimana untuk mengatur pemainnya mengikut kekuatan kami dan Perak kelihatan cukup bagus secara taktikal pada mulanya.
“Empat pemain di benteng dan tengah serta dua penyerang di depan kelihatan cukup teratur. Mereka tidak naik tinggi, bermain sebagai satu unit dan agak kompak, selain mengehadkan ruang untuk kami bermain permainan kami.
“20 minit pertama taktikal Mehmet membuatkan kami sedikit hilang punca sehinggalah Jambu (Afiq Fazail) membuka tirai jaringan. Ia sukar untuk kami mendapatkan rentak sehinggalah hadir gol Jambu yang memberi keyakinan untuk terus memberi tekanan kepada Perak.
“Selepas itu kami bermain dengan lebih tenang, bersahaja dan mendapat rentak yang dimahukan. Kami selesa bermain permainan kami dan setiap peluang disudahkan dengan jaringan demi jaringan,” ujar Benjamin Mora.
JDT mendahului 4-0 di separuh masa pertama, dengan Afiq Fazail membuka jaringan pada minit ke-22, disusuli dua gol Gonzalo Cabrera pada minit ke-36 dan 45 serta Ramadhan Saifullah pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua, Cabrera melengkapkan hatrik pada minit ke-63, sebelum Safawi Rasid (m-79) dan Akhyar Rashid melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-84.
Tiga mata yang diraih menyaksikan JDT meraih kelebihan enam mata ke atas pencabar terdekat Terengganu FC yang terlepas peluang merapatkan jurang mata selepas kecundang mengejut di tangan Melaka United.
Mereka hanya memerlukan tiga kemenangan sahaja lagi untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.
Foto : Johor Southern Tigers