Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora jelas tidak gembira dengan keputusan seri dilakar pasukannya ketika menentang Perak FC pada Ahad lalu.
Buat kali kedua berturut-turut JDT dipaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menyelamatkan satu mata, walaupun di atas kertas rata-rata melabel mereka boleh melakar kemenangan mudah mengambil kira prestasi semasa Perak FC.
Walaupun pengendali dari Mexico itu mengagumi semangat ditunjukkan barisan pemainnya, ada dua perkara membuatkan dia rasa sakit hati.
“Saya tidak gembira dengan prestasi buruk khususnya di separuh masa pertama kerana saya tahu kita boleh buat jauh lebih baik, kita tidak menterjemahkan kualiti sebenar,” ujar Benjamin Mora selepas perlawanan.
Dan dalam temubual bersama Nadi Arena, jurulatih itu menambah, “Semua orang mahu menewaskan juara. Semua orang mahu menewaskan pasukan terbaik. Semua orang mahu menewaskan pemain terbaik.
“Jadi ia perkara normal. Jika saya jurulatih pasukan lain, saya akan melakukan perkara sama ketika berdepan JDT.
“Tetapi saya akan bermain dengan adil kerana standard saya sebagai jurulatih adalah untuk berlaku adil dan bermain bola sepak.
“Tidak seperti yang beberapa pasukan lakukan, seperti malam ini (Perak), mereka banyak sekali merebahkan badan dan saya tidak boleh katakan ia sebagai permainan yang adil.
“Saya boleh katakan ia sebagai strategi yang tidak berapa bagus.”
Ironinya, perkara sama ini diluahkan oleh Benjamin Mora ketika pasukannya diikat 1-1 oleh Selangor FC di laman sendiri dalam aksi terdahulu.
Pada perlawanan menentang Perak FC di Stadium Ipoh, skuad harimau selatan ketinggalan 0-2 menerusi dua jaringan Guilherme De Paula sekaligus dilihat hampir pasti akan mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Super selepas 17 perlawanan sejak Julai 2019.
Namun pemain gantian Akhyar Rashid merapatkan kedudukan pada minit ke-75 sebelum penalti kontroversi pada masa kecederaan yang disudahkan oleh Leandro Velazquez membuatkan Perak FC berputih mata.
JDT kekal menerajui Liga Super 2021 dengan 11 mata, satu mata mengatasi Terengganu FC tetapi setelah mencicirkan empat mata dalam lima perlawanan pertama pastinya menimbulkan keraguan mengenai keupayaan mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga untuk musim kelapan berturut-turut.