Benjamin Mora Tak Kecewa Kerana Tahu Jurang Jauh Berbeza Antara Kawasaki dan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora, menerima kekalahan besar 5-0 kepada Kawasaki Frontale dengan hati terbuka, menyedari jurang yang begitu jauh antara kedua-dua pasukan.

Menurutnya, Kawasaki Frontale diketahui sebagai satu daripada kelab gergasi Asia dan beliau memuji barisan pemainnya kerana tetap memberikan tentangan yang sengit.

Malah, rata-rata pemain diturunkan Benjamin Mora pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu bukannya pemain utama dan tidak memiliki banyak pengalaman bermain di pentas terbesar Asia.

Bagaimanapun pengendali dari Mexico itu menafikan beliau ‘over-confident’ dengan pasukannya sehingga membuat keputusan untuk merehatkan terlalu ramai pemain tonggak daripada kesebelasan utama termasuklah Bergson da Silva dan Arif Aiman.

“Ada pemain yang diturunkan pada perlawanan itu meraih pengalaman pertama beraksi di pentas ACL. malah kami sudah berusaha untuk memberi saingan terhadap kelab gergasi Asia itu dan memang sukar untuk mengekalkan rentak permainan konsisten kerana pasukan lawan tidak memberi ruang bagi menyusun gerakan.

“Saya tidak berasa kecewa dengan kekalahan itu kerana kami sudah beri yang terbaik dan berusaha untuk memberi saingan terhadap barisan pemain Kawasaki Frontale.

“Perlu diingat, beberapa pemain JDT yang diturunkan tidak memiliki minit permainan yang mencukupi dan agak sukar untuk tampil beraksi dengan baik. Bola sepak adalah berbeza, pemain harus cepat menyesuaikan diri dan bekerjasama dalam satu pasukan,” kata Mora selepas perlawanan.

Antara pemain yang jarang diturunkan yang mendapat peluang beraksi pada Ahad adalah Nathaniel Shio Hong Wan, Bienvenido Maranon, Ramadhan Saifullah dan Mauricio Nascimento yang kemudiannya digantikan oleh Aidil Zafuan Abd Radzak kerana kecederaan pada minit ke-20.

“Apabila pemain terpaksa dikeluarkan pada awal permainan dan situasi itu tidak dijangka sudah tentu perancangan permainan sedikit terjejas. Kami harus pantas ubah suai taktikal dan Aidil Zafuan yang masuk gantikan Mauricio beraksi dengan baik malah kerap menyekat serangan berbahaya pasukan lawan.

“Kini kami akan membuat persiapan bagi mengharungi bagi dua perlawanan lagi dan kami perlu menang ke atas Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai sekiranya mahu menempatkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.