Berakhirnya karier gemilang seorang penjaga gol kecil molek bernama Shahrizan Ismail

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas lebih 20 tahun menabur bakti dalam kancah Liga Malaysia, apakah penjaga gol veteran Shahrizan Ismail sudahpun mengucapkan selamat tinggal kepada bolasepak profesional?

Persoalan itu timbul berikutan namanya tidak ada dalam senarai pemain musim 2o21 pasukan Kelantan United yang diumumkan baru-baru ini selepas dua musim dia mewakili pasukan itu, lantas memberi bayangan karier gemilang penjaga gol yang pernah menjulang dua kali treble dengan dua pasukan berbeza ini telah pun sampai ke penghujung.

Tiga penjaga gol yang akan membawa cabaran Kelantan United 2021 adalah Fikri Che Soh, Ramadhan Ab Hamid dan Nasharuden Hashim.

Jika benar sudah berundur, maka Shahrizan Ismail tidak berjaya untuk memecahkan rekod pemain tertua beraksi di Liga Malaysia dipegang oleh V.Murugan (43 tahun).

Shahrizan Ismail diperkenalkan ke arena bolasepak tempatan selepas menjadi salah seorang tonggak penting pasukan Kelantan yang menjuarai Liga Perdana Dua 2000.

Dia yang lebih mesra disapa Mat Chah adalah satu-satunya pemain dari skuad bimbingan Abdul Rahim Ahmad itu yang kekal beraksi sehingga 2020 tatkala semua rakan sepasukan ketika itu antaranya Roslisham Md Nor, Fatrurazi Rozi, Hardi Ahmad, Rosairil Asrul, Saifulnizam Hussin, Rosli Omar danTuan Kamree Tuan Yahya sudah lama menggantung but.

Dan siapa sangka, pada usia 40 tahun, penjaga gol dengan susuk tubuh kecil ini, masih tangkas dan dan menjadi tunjang utama pasukan Kijang Hijau.

Dia beraksi dalam tujuh daripada 12 perlawanan diharungi Kelantan United manakala pada musim 2019 Shahrizan Ismail telah menjadi tonggak instrumental skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu yang menjulang Liga M3.

Shahrizan bermain dalam 24 daripada 26 perlawanan, mencatat 13 clean sheet dan memastikan Kelantan United muncul sebagai pasukan dengan rekod defensif terbaik.

Bercerita mengenai karier lebih 20 tahun Shahrizan sebagai pemain bolasepak professional, hanya Terengganu, Selangor dan Perlis adalah dua pasukan luar Kelantan pernah diwakilinya.

Selepas mewakili Kelantan dalam Liga Simpanan dan Piala Razak ketika usia belasan tahun, Shahrizan beraksi beberapa musim bersama TNB Kelantan dalam Liga FAM.

Apabila dibawa masuk ke dalam skuad Liga Premier Kelantan pada 1999, dia berada di belakang Halim Napi, Azuan Othman dan Ridzuan Bulat.

Ketangkasan, keberanian dalam situasi satu lawan satu dan refleksi yang memukau, menyaksikannya beroleh peluang menjadi penjaga gawang utama pada tahun 2000, tahun Kelantan menjulang trofi Liga Perdana Dua.

Pada 2001, Shahrizan terpaksa bersaing hebat dengan Sany Fahmi yang ketika itu hadir dengan reputasi sebagai bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000 untuk mengekalkan status penjaga gol nombor satu.

Namun kecederaan dialami Sani Fahmi ketika pertengahan musim memberi peluang kepada Shahrizan untuk kembali menjadi tonggak penting skuad K.Rajagobal ketika itu.

Berpindah ke Selangor, julang treble kali pertama

Selepas itu, buat kali pertama dia meninggalkan Kelantan apabila dipancing Selangor.

Bersama Red Giants, Shahrizan menjulang beberapa kejuaraan, paling hebat tentunya gelaran treble Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Selangor juara Berakhirnya karier gemilang seorang penjaga gol kecil molek bernama Shahrizan Ismail

Dia kemudiannya menyertai Terengganu selama dua musim dan Perlis selama semusim, sebelum kembali bersama Kelantan, ketika Tan Sri Annuar Musa mengambil alih pucuk pimpinan KAFA pada 2008, bertindak sebagai penjaga gol utama.

Pada 2009 dia memulakan musim sebagai pilihan kedua di belakang Halim Napi namun selepas penjaga gol veteran itu digantung kerana insiden menumbuk Aidil Zafuan, Shahrizan kembali merampas posisinya dan membantu Kelantan muncul naib juara Piala FA.

Kehadiran Syed Adney serta peningkatan hebat Khairul Fahmi bermula 2010, menyaksikan Shahrizan kemudian lebih banyak bertindak sebagai penjaga gol simpanan, namun dia tidak pernah mengecewakan setiap kali diturunkan sebagai pengganti.

Menjulang treble kedua dalam karier

Pada 2012, dia terus mendapat kepercayaan untuk kekal di dalam pasukan dan satu lagi sejarah gemilang tercipta dalam karier Shahrizan, apabila menjulang treble buat kali kedua setelah Kelantan menundukkan ATM untuk menjuarai Piala Malaysia.

Kelantan juara trebel Berakhirnya karier gemilang seorang penjaga gol kecil molek bernama Shahrizan Ismail

Ini sekaligus menjadikannya memahat nama sebagai satu-satunya penjaga gol yang pernah menjulang treble dengan dua pasukan berbeza.

Dia kekal menabur bakti dengan Kelantan sehingga 2018 dan pada ketika ramai menyangka kariernya sudah tiba ke penghujung, dia menambah satu lagi trofi bersama Kelantan United dan bersemangat tinggi mahu membawa pasukan itu layak ke Liga Super 2021.

Sesungguhnya nama Shahrizan akan kekal sebagai antara penjaga gol terbaik pernah dilahirkan Kelantan.

Foto kredit : HMetro, NSTP, chedinsphere.blogspot.com

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.