Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ternyata kecewa dengan kegagalan beberapa pemainnya untuk menunjukkan tahap sebenar permainan mereka ketika pasukan itu tewas dalam aksi persahabatan pra-musim Piala Sabah Maju menentang Kelantan pada Ahad.
Bermain di laman sendiri di Stadium Likas, Sabah terlebih dahulu berada di depan pada awal babak kedua menerusi Saddil Ramdani namun Kelantan bimbingan Rezal Zambery Yahya bangkit menterbalikkan keputusan menerusi jaringan Alif Aiman dan penalti Kervens Belfort di penghujung perlawanan.
“Dari segi keputusan saya tidak berpuas hati dengan beberapa pemain yang tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka. Kita bermula agak perlahan tetapi kita mendapatkan gol yang pertama.
“Selepas gol pertama kita ‘berhenti’ bermain dan mengambil mudah. Ini adalah satu sikap negatif yang perlu diubah kerana apabila mendahului kita harus kekalkan momentum,” ujar Ong Kim Swee selepas perlawanan.
Selain Saddil Ramdani, antara pemain lain diturunkan Sabah dalam kesebelasan utama termasuklah kapten pasukan Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Amri Yahyah, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Tommy Mawat serta pertahanan termahal Liga Malaysia, Jackson De Souza.
Mengenai penyerang import baru, Neto Pessoa, Ong Kim Swee berkata, “Sudah tentu banyak kelemahan perlu diperbaiki terutamanya dari segi penyudah tetapi secara keseluruhannya saya amat berpuas hati terutama kesungguhan ditunjukkannya apatah lagi dia baru bersama pasukan kira-kira dua minggu.
“Seorang lagi pemain import dari Brazil, Jackson De Souza pula sudah menunjukkan persefahaman yang baik dalam perlawanan malam tadi dan saya yakin kedua-dua pemain import ini akan menjadi lebih baik selepas mengharungi beberapa perlawanan selepas ini.”
Sementara itu, pengendali Kelantan, Rezal Zambery Yahya pula berkata, “Perlawanan pertama yang cukup mendebarkan bagi saya, pemain banyak menghasilkan peluang dan kemenangan ini adalah untuk penyokong yang sentiasa bersama pasukan TRW Kelantan FC.
“Walaubagaimanapun, masih terdapat kelemahan yang perlu saya perbaiki segera di semua posisi sebelum saingan Liga Malaysia bermula. Saya perlu memandang serius untuk mempertajamkan di bahagian serangan kerana kita memiliki banyak peluang di separuh masa pertama.”