“Berapa Banyak Perlawanan Lagi Yang Mahu Ditangguh?” – Aidil Sharin

Aidil Shahrin jurulatih KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDAFC), Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya cukup terkesan dengan penundaan dua perlawanan membabitkan pasukan itu, menyaksikan mereka belum boleh turun beraksi setelah saingan Liga Super kembali bersambung pada 24 Julai lalu.

Setelah penundaan perlawanan menentang Penang FC pada Sabtu lalu, aksi KDAFC menentang PJ City yang dijadual berlangsung pada Selasa turut ditunda berikutan mereka kini sedang menjalani kuarantin setelah dua pemain dilaporkan positif Covid-19.

Malaysian Football League (MFL) bagaimanapun cuba membantu mereka untuk dapat segera kembali ke dalam aksi dengan membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar hanya pegawai dan pemain positif COVID-19 dikuarantin, bukannya keseluruhan pasukan.

Aidil Sharin berpendapat langkah itu bertepatan dengan apa dilakukan oleh beberapa liga negara luar sekaligus memastikan perlawanan dapat berlangsung seperti dirancang serta tidak menjejaskan perancangan pasukan.

“Saya rasa itulah solusi yang terbaik yang perlu ada pada ketika ini, kalau tidak berapa banyak perlawanan yang perlu ditangguh lagi dan akan memakan masa lama.

“Pasukan saya, satu hari sahaja lagi nak beraksi, terpaksa terima berita penangguhan ini pada saat kami semua sudah bersedia dan perancangan semua sedikit terjejas.

“Jadi, saya rasa pertimbangan dapat diberi kepada mereka yang negatif untuk meneruskan tugas, ambillah contoh liga-liga di luar negara, Eropah, dan Euro 2020 sekalipun yang mana pemain positif sahaja perlu dikuarantin.

“Jujur saya cakap, kami semua memang sangat sedih dan kecewa, kerana selepas Piala AFC yang patut kita lupakan, sekarang, kena berdepan perkara ini pula”, kata Aidil Sharin.

MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan mengusulkan supaya hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 dikuarantin manakala mereka yang disahkan negatif dibenarkan berlatih dan dalam masa sama meneruskan perlawanan liga seperti dijadualkan.

Cadangan itu turut disokong ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, yang menjelaskan pihaknya telah sedaya upaya mengikut segala arahan ditetapkan dan melihat cadangan itu adil kepada semua pasukan.

“Saya rasa itu langkah yang baik untuk kita memohon pertimbangan MKN kerana pasukan kami setiap kali perlawanan, memang akan sentiasa buat ujian RTK.

“Jadi saya rasa seeloknya yang mana negatif, dapat dibenarkan untuk terus berlatih dan beraksi dalam perlawanan, dan yang mana positif teruskan kuarantin seperti yang ditetapkan.

“Kami di Kuching City FC sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan sebab itu kami tidak pernah ketinggalan untuk sentiasa melakukan ujian, jadi sekiranya yang mana ada ini hasil ujian adalah negatif, saya harap kami dapat diberi kelonggaran untuk sambung beraksi,” jelasnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.