Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim jelas tercabar dengan beberapa kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang seolah mempertikaikan kredibilitinya.
Tunku Ismail dalam satu temubual esklusif di Cakap Sukan mendedahkan bahawa Lim Teong Kim pernah meminta kerja dengan Johor Darul Takzim, namun permintaan gajinya sangatlah tinggi iaitu sekitar 70 atau 80 ribu Euros (sekitar RM330,000 – RM380,000) sebulan.
Bagi Tunku Ismail, memandangkan Lim Teong Kim tidak pernah membawa sebarang pasukan senior di peringkat kelab mahupun kebangsaan, jumlah itu adalah tidak munasabah, dalam masa sama mendedahkan itu punca beliau tidak pernah mencadangkan nama bekas pemain kebangsaan itu untuk dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan mahupun skuad bawah umur (pembangunan).
Beliau berkata jika benar Lim Teong Kim sayangkan bolasepak Malaysia, dia seharusnya datang membantu pembangunan bolasepak tanah air dengan gaji sebanyak RM20,000 atau RM30,000 sebulan.
Walaupun telah dinafikan oleh Lim Teong Kim bahawa dia pernah meminta sebanyak itu, Tunku Ismail berkata ada saksi dari bahagian kewangan yang mendengar permintaan itu justeru menyuruh Teong Kim supaya tidak temberang dan memutarbelitkan cerita sebenar.
Lim Teong Kim sebenarnya hairan, bagaimana sebuah temuramah yang bertujuan mengupas tentang kewujudan tangan ghaib serta kegagalan pasukan kebangsaan di Piala AFF, boleh membawa kepada topik tentang dirinya.
“Saya nak tanya, berapa Tunku membayar gaji kepada pemain import, 20 ke 30k? Ringgit Malaysia? Dan apa kena mengena kegagalan pasukan kebangsaan (di Piala AFF) dengan saya???
“Seingat saya, saya tidak pernah bercakap dengan bahagian kewangan (JDT), saya tahu dan ingat saya bercakap dengan Tunku. Dan, saya nak tanya juga, adakah saya pernah minta bekerja dengan pasukan kebangsaan??? Untuk makluman Tunku, Guardiola dan Thomas Tuchel pun bermula dengan membimbing pasukan bawah umur, begitu juga ramai lagi jurulatih lain. Malah saya adalah jurulatih berkelayakan yang memegang Lesen Profesional UEFA.”