Berebut penalti dengan Jorginho, Tammy Abraham diberi kata dua oleh Lampard

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus Chelsea, Frank Lampard memberi kata dua kepada Tammy Abraham susulan insiden penyerang itu berebut untuk mengambil sepakan penalti dengan Jorginho, pada perlawanan menentang Crystal Palace.

Mengikut ketetapan pasukan, Jorginho merupakan pemain yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti dan pemain itu telah menyempurnakan penalti pertama pada minit ke-78 untuk meletakkan Chelsea mendahului 3-0.

Tiga minit kemudian, Chelsea mendapat satu lagi penalti setelah Kai Havertz dikasari Mamadou Sakho, dan kali ini Tammy Abraham pula mahu mengambil sepakan itu.

Tammy Abraham pantas mengambil bola dan menuju untuk mengambil sepakan tersebut dengan menjangkakan dia akan diberi peluang untuk menambah koleksi jaringan musim ini.

Kelihatan Timo Werner juga cuba untuk meminta bola daripada Tammy Abraham, dan ketika itu kapten pasukan Cesar Azpilicueta pantas masuk campur, merampas bola dari tangannya dan memberikan kepada Jorginho.

Jorginho tidak melakukan kesilapan dan menyempurnakannya untuk melengkapkan kemenangan 4-0 Chelsea ke atas Crystal Palace, tetapi Tammy Abraham ternyata tidak gembira malah kelihatan merajuk.

Menurut Frank Lampard, “Ia sudah selesai, tiada masalah, sudah selesai dengan baik. Saya mahukan seorang ketua di atas padang (sepertimana disaksikan dalam kelibat Azpilicueta) dan sedikit konflik.

“Ianya bagus untuk melihat keghairahan Tammy (mahu menjaringkan gol), saya menghargai persembahannya tapi mana boleh langgar ketetapan, tidak sama sekali, dia kena faham perkara tersebut.”

Sementara itu bekas pemain Chelsea yang juga pengulas perlawanan, Joe Cole pula memuji karakter seorang ketua ditunjukkan Azpilicueta.

“Pada ketika sedang mendahului 3-0, sebagai kapten sudah tentunya dia tidak mahu melihat dua rakan sepasukan bergaduh disebabkan mahu ambil penalti, itu dinamakan professional, bukan?

“Sudah ditetapkan Jorginho adalah pengambil sepakan utama, jadi kenapa perlu berebut. Baguslah jika semua ada keinginan mahu skor gol, tetapi kenapa mahu merosakkan petang yang hebat dengan benda kecil seperti ini,” kata Joe Cole.

Kemenangan ke atas Crystal Palace adalah kemenangan kedua Chelsea musim ini selepas dikerah untuk bangkit daripada ketinggalan 3-0 dan mencatat keputusan seri 3-3 ketika menentang West Bromwich Albion minggu lalu.

Foto Kredit: Premier League/Zimbio

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.