Beregu Indonesia Beri Nasihat Kepada Beregu Negara Selepas Menjuarai Masters Malaysia 2022

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gandingan beregu lelaki Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto berharap beregu utama Malaysia yang ditewaskan mereka dalam laluan untuk menjuarai Malaysia Masters 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan segera bangkit daripada kekecewaan.

Masing-masing memberikan sokongan kepada Aaron-Wooi Yik dan meminta mereka supaya tidak berputus asa walaupun mengharungi tahun 2022 yang tidak begitu memberansangkan.

Fajar percaya masanya pasti akan tiba bagi Aaron-Wooi Yik merangkul kejuaraan pertama mereka sejak kali pertama digandingkan pada 2017.

“Aaron-Wooi Yik pernah menang gangsa di Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas dan saya percaya mereka bisa bangkit untuk meraih kejuaraan pertama nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir pada Ahad.

Fajar-Muhammad Rian yang turun selaku pilihan keenam merangkul kejuaraan kedua Masters Malaysia dalam karier selepas menumpaskan senior mereka yang juga pilihan ketiga, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-12, 21-19.

Muhammad Rian pula berkata mereka juga tetap mencuba sebaik mungkin bagi mencapai rekod pertemuan antara mereka kepada 3-3 selepas tewas tiga perlawanan terdahulu menentang Aaron-Wooi Yik sebelum ini.

Pertemuan terbaru mereka pada aksi separuh akhir Masters Malaysia 2022 di Axiata Arena, Sabtu lalu berpihak kepada Fajar-Muhammad Rian, 21-14, 19-21, 21-10.

Pasangan Indonesia itu tumpas straight set 24-26, 15-21 kepada Aaron-Wooi Yik ketika bertemu pertama kali di Masters Malaysia 2019.

Indonesia pastinya boleh berbangga kerana tidak pernah ketandusan melahirkan beregu-beregu lelaki yang sering menjadi tumpuan dunia – selepas pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, mereka mempunyai gandingan ketiga terbaik dunia, Ahsan-Hendra, dan kini Fajar-Muhammad Rian diyakini mampu mencapai tahap seperti kedua-dua pasangan itu.

Selain menjuarai Masters Malaysia 2022, tahun ini menyaksikan Fajar-Muhammad Rian meraih dua lagi gelaran juara iaitu Masters Indonesia 2022, bulan lalu serta Terbuka Swiss 2022 pada Mac lalu.

Kredit foto : Harian Metro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.