Serang rakan sepasukan sendiri, Gassama dihantar pulang

Gassama dan Zafuan Azeman berdamai
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

(Artikel ini terdapat ralat dan telah diperbetulkan, maaf atas kesulitan)

Gara-gara insiden menyerang rakan sepasukan sendiri hingga dilayangkan kad merah, pemain import Kelantan United FC iaitu Gassama Alfusainey menerima padah apabila dihantar pulang ke Kota Bharu dan tidak akan bersama pasukan untuk aksi seterusnya menentang Johor Darul Takzim II pada 1 Ogos ini.

Kelantan United menang besar 4-0 dalam aksi Liga Premier menentang Perak II pada Rabu, namun kemenangan itu dicemari dengan insiden Gassama menyerang Zafuan Azeman selepas wisel penamat dibunyikan.

Berita berkaitan : Kemenangan Kelantan United dicemari insiden pelik

Gassama didapati meluru secara tiba-tiba dan menyerang Zafuan Azeman dan akibat daripada tindakan itu dia yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan berkenaan dilayangkan kad merah oleh pengadil Safri Tahir.

Turut dikenakan kad merah dalam perlawanan itu adalah Asraf Alifuddin, lebih awal pada minit ke-75 kerana mengasari Adam Nadzmi, dan pemain itu turut dihantar pulang ke Kota Bharu oleh kelab itu.

“Kelab ini tidak akan berkompromi sama sekali berkaitan disiplin jurulatih, pegawai atau pemain dengan membelakangi semangat kesukanan.

“Kami akan menyiasat dengan segera dua insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas jika pemain yang terlibat didapati melanggar prinsip ‘Fair Play’.

“Justeru itu, atas insiden terbabit, pihak kelab telah mengambil tindakan drastik dengan menghantar pulang dua pemain terbabit ke Kota Bharu selepas perlawanan. Mereka berdua tidak akan bersama pasukan di Larkin.

“Oleh kerana pihak kelab dan pasukan kini sedang memberi fokus kepada perlawanan ketiga dalam masa 7 hari di laman lawan menentang JDT II, siasatan penuh insiden dan tindakan yang akan diambil kepada pemain bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi pada masa akan datang seterusnya memburukkan nama Kelantan United FC akan dilakukan sekembalinya ke Kota Bharu.

“Kelantan United Football Club (KUFC) memohon maaf atas tindakan tidak profesional pemain sehingga menerbitkan rasa tidak gembira penyokong dan peminat bola sepak Kelantan.

“Pihak kami berjanji akan menangani insiden ini dengan langkah terbaik untuk mengelakkan dari berlaku lagi di masa hadapan,” menurut kenyataan kelab itu.

Foto ehsan : Kelantan United FC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.