“Berganding Dengan Baddrol Bakhtiar Ibarat Mimpi Jadi Kenyataan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bukan semua pemain bertuah untuk bermain bersama-sama pemain yang menjadi idola mereka sejak sekian lama, justeru apabila mendapat peluang tersebut ia ibarat mimpi yang menjadi kenyataan buat dua bintang muda meningkat naik Hakimi Abdullah dan Mukhairi Ajmal.

Kedua-dua mereka menjadikan Baddrol Bakhtiar sebagai idola dan mengakui sudah begitu lama menyimpan hasrat mahu bergandingan dengan kapten Kedah Darul Aman itu.

Tanpa disangka, mereka beroleh peluang itu bersama Harimau Malaya di kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini setelah disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe.

“Idola dalam pasukan kebangsaan memang ada, seperti Baddrol dan Aidil (Zafuan Abd Radzak). Saya sudah impikan lama nak bergandingan dengan Baddrol, dia kapten luar biasa,” kata Hakimi kepada Arena Metro.

Manakala Mukhairi Ajmal pula berkata, “Saya suka tengok waktu dia bermain di Piala Suzuki AFF kerana cara dia, hantaran dia dan kreativiti dia di atas padang. Sekarang saya rasa ini peluang terbaik untuk saya bermain dengan Baddrol.”

Hakimi dan Mukhairi adalah dua daripada enam nama baru yang dipanggil Cheng Hoe bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan (6 Oktober) dan Uzbekistan (9 Oktober) setelah tampil cemerlang bersama pasukan masing-masing di Liga Malaysia.

Baddrol yang merupakan penjaring terbanyak tempatan Liga Super pula kembali dipanggil bagi mengemudi barisan tengah setelah beberapa pemain seperti Nor Azam Azih, Brendan Gan dan Syamer Kutty Abba tidak disenaraikan.

Sementara itu, Hakimi mengakui ketiadaan beberapa pemain tonggak seperti Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bukan tiket mudah buatnya untuk memikat hati Cheng Hoe dan berjanji akan bekerja keras untuk membuktikan pemilihannya bukan satu kesilapan.

“Saya anggap ini (dipanggil pertama kali) sebagai motivasi untuk kekal konsisten dalam skuad kebangsaan dan mahu melupakan kegagalan merebut tempat dalam empat panggilan sebelum ini. Kalau boleh saya mahu kekal berada dalam perancangan Cheng Hoe dan terus menyarung jersi Malaysia,” ujar Hakimi.

Mukhairi pula mahu menggunakan kesempatan ini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dari pemain-pemain senior.

“Ramai pemain yang bagus dan mungkin ini adalah peluang terbaik untuk saya kerana dapat kepercayaan jurulatih menyertai skuad kebangsaan. Saya akan cuba sesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan.

“Saya juga mungkin boleh ambil pengalaman dari pemain lebih senior dan belajar sesuatu untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.