Kelantan FC kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Premier 2022 setelah menewaskan Uitm FC 1-0 pada Isnin, menerusi jaringan tunggal Syed Sobri pada minit ke-77.
Ia adalah perlawanan pertama skuad The Red Warriors di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.
Walaupun meraih tiga mata, pada hakikatnya skuad Rezal Zambery Yahya tidak dapat menterjemahkan permainan sebenar mereka, malah dianggap bernasib baik untuk menang.
Ini mungkin disebabkan faktor berehat terlalu lama hampir dua bulan, selain kemasukan pemain-pemain baru yang belum serasi sepenuhnya Melihat cara mereka bermain, turut mengejutkan jurulatih Uitm FC, Ismail Ibrahim yang tanpa berselindung mengatakan sukar untuk Kelantan FC bergelar juara jika terus kekal dengan permainan seperti ini.
“Pada pandangan saya perlawanan petang ini seimbang dan kita lihat Kelantan pun sukar menjaringkan gol walaupun bermain dengan empat pemain import. Dulu masa main lawan kami mereka berjaya untuk pegang bola tetapi kali ini hanya bermain hantaran jauh (long ball). Kalau terus main macam ni susah mereka nak jadi juara,” kata Ismail selepas perlawanan.
Sementara itu, Rezal Zambery pula berkata, di sebalik bergelut meraih tiga mata, ia adalah tonik terbaik buat pasukannya untuk menyalakan harapan bergelar juara dan berharap momentum dapat diteruskan apabila bertemu pula JDT II dalam aksi seterusnya.
Beliau juga berterima kasih kepada penyokong setia pasukan yang hadir memberikan sokongan walaupun perlawanan berlangsung pada waktu petang hari bekerja.
Harapannya, stadium akan dibanjiri lebih ramai penyokong dalam perlawanan-perlawanan mendatang seterusnya menghidupkan kembali aura ‘this is Kota Bharu’.
“Benda ini (hidup balik aura) boleh berlaku dengan tambahan sorakan daripada penyokong, ia akan memberi satu semangat lain kepada pemain. Bolasepak di Kelantan boleh dikatakan medan penyatuan rakyat dan ini yang saya cuba terapkan kepada pemain,” ujarnya.