Bergson bukti JDT cari import bukannya tangkap muat dan asalkan ada pengganti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva tidak mengambil masa lama untuk memenangi hati penyokong pasukan itu meskipun dia dibawa masuk pada saat akhir, dua hari sebelum jendela perpindahan pertama Liga Super 2021 ditutup.

Penyerang berasal dari Brazil itu mengisi kekosongan ditinggalkan Jonathan Herrera yang terlebih dahulu didapatkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang menyertai pasukan Liga Thailand, BG Pathum United.

Apabila Jonathan Herrera dipinjamkan ke kelab Liga Divisyen Satu Argentina, Club Atletico Independiente, JDT dilihat kesuntukan masa mencari seorang lagi pengganti, namun dalam masa singkat mereka mengikat Bergson da Silva secara pinjaman selama empat bulan dari kelab Serie A Brazil, Fortaleza.

Dan penyokong boleh dimaafkan sekiranya mereka meragui adakah Bergson da Silva rekrut yang berbaloi atau diambil asalkan ada import, adakah dia mampu untuk menyerlah seterusnya menepati ekspetasi tinggi yang diletakkan ke atasnya.

Kebimbangan paling besar, lama mana dia akan ambil masa untuk serasi dengan taktikal dan sistem permainan Benjamin Mora serta membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan sedangkan liga sudahpun mahu bermula.

Dia tidak diturunkan dalam dua perlawanan pertama, hanya membuat penampilan sulung pada aksi ketiga menentang Uitm FC di mana dia meledak gol ketiga JDT pada perlawanan itu.

Kini setelah membuat enam penampilan, dia sudahpun menjaringkan lapan gol – terbaru dua gol ketika menentang PJ City FC – dan segera memahat nama sebagai kesayangan penyokong di Iskandar Puteri.

Malah sentuhan klinikalnya membuatkan Bergson da Silva dilihat sebagai calon hangat memenangi kasut emas penjaring terbanyak Liga Super 2021, mengulangi pencapaian Jorge Pereyra Diaz (2016) dan Mohamed Ghaddar (2017).

Perlu diakui, ia bukan kerja mudah untuk satu-satu pasukan mendapatkan seorang penyerang import berkredibiliti, apatah lagi dalam tempoh yang begitu singkat.

Buktinya lihat sahaja beberapa pasukan di Liga Malaysia yang bergelut mencari penyerang import, Sri Pahang sebagai contoh paling dekat, saban tahun membawa masuk penyerang yang kerap cedera ataupun tidak kompeten, menyajikan penyokong mereka dengan import tangkap muat dan asalkan ada.

Sejak beberapa musim lepas mereka diperkuatkan pemain seperti Austin Amutu serta Dickson Nwakaeme yang banyak menghabiskan masa di bilik rawatan, manakala musim ini Pedro Henrique dan Yevhen Bokhashvili kedua-duanya tidak dapat menterjemahkan sentuhan jaringan malah setiap perlawanan menjadi sasaran kecaman.

Pada setiap sidang media kita akan mendengar rungutan Dollah Salleh mengenainya.

JDT boleh dikatakan cukup bertuah, hilang Diaz dapat Ghaddar, hilang Ghaddar dapat Diogo dan kini Bergson da Silva, sememangnya rekrut yang berbaloi!

Foto : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.