Berkat kesabaran dan usaha tidak putus asa selama 7 tahun!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bukan satu, dua atau tiga tahun, tetapi tujuh tahun Ashar Al Aafiz menanti untuk akhirnya memecah masuk ke dalam kesebelasan utama Sri Pahang FC.

Pemain berasal dari Bukit Sekilau, Kuantan, itu mengakui pernah hampir berputus asa dan terfikir mahu mencuba nasib dengan pasukan lain, tetapi berkat kesabarannya itu dia berjaya memenangi kepercayaan Dollah Salleh sekaligus membuktikan rezeki tidak pernah salah alamat.

Malah, penghijrahan ramai pemain berpengalaman pada musim lalu seperti Matthew Davies turut membuka ruang buat Ashar mendapatkan lebih banyak minit permainan.

“Dulu saya ada sahaja terfikir masa musim 2017, rasa ingin mencari pasukan lain semasa pasukan mengambil ramai pemain ternama pada masa itu dengan ada di antara mereka yang berstatus pemain kebangsaan.

“Saya sangat gugup pada masa itu kerana dikelilingi pemain hebat dan rasa macam tak ada peluang langsung hendak bermain.

“Namun,saya kuatkan semangat dan berkata kepada diri sendiri agar bersabar kerana mungkin tuhan belum berikan rezeki buat saya lagi untuk mendapat peluang bermain.

“Akhirnya bermula pada 2019, saya ada mendapat peluang bermain beberapa kali sebelum dua musim terakhir ini kerap diturunkan bermain sama ada di posisi pertahanan kanan selain pertahanan tengah.

“Seakan masih lagi tidak percaya apabila jurulatih, Dollah Salleh mula mempercayai saya untuk bermain dan oleh itu, saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana berikan peluang

“Jadi saya kena kekalkan tahap kecergasan dan prestasi untuk terus mendapatkan tempat dalam pasukan kerana peluang sebegini bukan sesuatu yang mudah untuk dapat,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Ashar yang sekadar memanaskan bangku simpanan pada tiga aksi pertama Liga Super, mula mengetuk tempat dalam kesebelasan utama sejak aksi berdepan Sabah FC yang membawa kemenangan sulung Sri Pahang.

Dia bermain sebagai pertahanan tengah dalam empat perlawanan berikutnya berikutan kecederaan bersilih ganti dialami beberapa pemain utama seperti Muslim Ahmad, Mamadou Wague dan Herold Goulon sebelum kembali ke posisi pertahanan kanan.

Musim ini dia telah tampil dalam sembilan perlawanan dengan satu bertindak sebagai pemain gantian sementara 2020 memperlihatkan dia bermain dalam tujuh dari sebelas perlawanan, empat daripadanya selaku pemain utama.

Statistik itu jauh berbeza dengan musim 2019 apabila dia sekadar bermain dalam empat perlawanan secara keseluruhan dengan dua kali sahaja diturunkan dalam kesebelasan utama.

Dalam masa sama Ashar berasakan aspek fizikal tidak menjadi halangan bagi dia meraih tempat biarpun majoriti pertahanan kebanyakannya mempunyai ketinggian yang agak baik berbanding pemain di posisi lain.

“Saya tidak rasa saiz ketinggian saya menjadi penghalang untuk dapat peluang bermain, apa yang mustahak adalah mendapat kepercayaan jurulatih.

“Mungkin aspek ketinggian serta kekuatan fizikal sedikit mengganggu semasa situasi sepakan penjuru atau hantaran silang ke dalam kotak namun ia boleh diatasi jika benar-benar fokus sepanjang permainan.

“Saya juga bersyukur kerana sepanjang tempoh tujuh musim di Pahang, saya telah belajar banyak perkara dengan pemain yang telah datang dan pergi terutama Dickson Nwakaeme yang sentiasa berikan kata-kata semangat kepada saya sepanjang di sini, ” katanya yang merupakan rakan persekolahan kepada Nor Azam Azih di Sekolah Menengah Seberang Temerloh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.