Saturday, July 24, 2021
HomeBola Sepak"Bermain bersama Kane, Modric dan Bale memori terindah," ujar pemain KL City

“Bermain bersama Kane, Modric dan Bale memori terindah,” ujar pemain KL City

Pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mengakui pengalaman berlatih serta bermain bersama beberapa pemain ternama seperti Harry Kane, Luka Modric, Gareth Bale dan Emmanuel Adebayor antara detik paling manis dalam perjalanan kariernya.

“Saya ke Tottenham pada umur 18 tahun selepas persembahan saya dengan Torino yang ketika itu Serie B Itali meraih perhatian ramai sebelum Pengarah Teknikal Tottenham, Tim Sherwood menghubungi saya.

“Pada mulanya saya ingat hanya satu gurauan namun itu memang terjadi apabila dia mengatakan Harry Redknapp mahukan khidmat saya sebelum terbang ke sana dengan kontrak dua tahun dan enam bulan.

“Pengalaman bermain serta berlatih dengan Harry Kane, Massimo Luongo, Ryan Mason, Tom Carroll dan Nabil Bentaleb yang waktu itu juga merupakan pemain remaja tidak boleh dilupakan selain Adebayor, Luka Modric, Kyle Walker dan Gareth Bale, ia menjadikan saya seperti pemain hari ini,” katanya.

Giancarlo Gallifuoco juga mendedahkan dia hanya mengetahui potensinya bermain selaku pertahanan tengah pada umur 25 tahun.

Menurut pemain yang berasal dari Australia ini, pada awal pembabitan kariernya di England semasa bersama Tottenham Hotspur ketika berumur 18 tahun, dia sering kali diletakkan posisi berbeza.

Namun, penghijrahan ke Melbourne Victory pada dua tahun lalu telah membuatkan dia semakin yakin untuk terus beraksi di pertahanan tengah yang kini menjadi posisi utamanya di KL City FC.

“Saya mempunyai ketinggian yang baik bagi perebutan bola di udara dan kekuatan di bahagian kaki yang membuatkan saya boleh bermain baik di bahagian pertahanan.

“Namun dalam masa saya punyai kecergasan yang baik serta boleh berlari tiap masa yang diperlukan, jadikan situasi itu membuatkan saya boleh beraksi di bahagian tengah.

“Semasa Harry Redknapp yang merupakan pengurus Tottenham pada waktu itu menandatangani saya, dari Torino, posisi asal saya adalah bahagian tengah namun selepas dia dipecat, penggantinya, Andres Villas-Boas meletakkan saya sebagai pemain pertahanan.

“Tidak lama selepas dia dipecat, Tim Sherwood pula selepas itu meletakkan saya sebagai pertahanan kanan dan apabila bersama Swansea pada tahun berikutnya, saya kembali ke posisi tengah.

“Terus terang pada waktu itu, saya tidak tahu di posisi mana patut bermain cuma yrasanya posisi pertahanan kanan telah merencatkan perjalanan karier saya semasa di England.

“Akhirnya pada umur 24 ke 25 tahun apabila bersama Melbourne Victory, baharu sedar posisi yang cukup sesuai dengan saya sebenarnya ialah pertahanan tengah atau mungkin pemain tengah bertahan kerana dalam diri ini, saya seorang yang suka memenangi bola, mahu menjadi ketua di atas padang serta gemar membantu pasukan dalam situasi sukar, ” katanya.

Pemain berusia 27 tahun ini merupakan antara tonggak penting KL City FC musim ini apabila gandingannya bersama Irfan Zakaria menyaksikan pasukan itu muncul pasukan ketiga terbaik bersama Penang yang kurang dibolosi iaitu 14 gol selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC.

Selain rekod tiga perlawanan KL City FC tidak dibolosi, pemain berketinggian 1.87 meter ini turut menjaringkan satu gol ketika pasukannya tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.