Langkahan Kedah Darul Aman dalam saingan Piala AFC musim ini tersekat selepas kecundang 1-2 di peringkat separuh akhir zon ASEAN kepada PSM Makassar.
Rata-rata penyokong meluahkan rasa kecewa kerana berpendapat Kedah tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka pada perlawanan itu, malah lebih mengecewakan mereka pasukan lawan dari Indonesia itu bermain dengan 10 pemain pada 30 minit terakhir.
Ini berikutan kad merah dilayangkan kepada penjaring gol kedua Yuran Fernandes pada minit ke 61 namun PSM Makassar tetap berjaya mempertahankan kelebihan walaupun Kedah cuba bangkit menerusi jaringan Fayyadh Zulkifli pada minit akhir.
Malah PSM Makassar juga menamatkan aksi dengan sembilan pemain setelah seorang lagi pemainnya Agung Makanan dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
Menurut Aidil Sharin Sahak selepas perlawanan, “Kedah adalah pasukan yang baru dalam kejohanan ini dan para pemain masih belajar. Kami sedar ianya satu perlawanan yang sukar namun mereka sudah memberikan segala-galanya.
“Kami tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama pertama. Kekurangan komunikasi menjadi punca utama kami dibolosi namun ia bertambah baik pada babak kedua. Sebenarnya lebih sukar apabila menentang lawan yang bermain 10 pemain kerana mereka akan lebih bertahan.
“Tiada rezeki untuk kami malam ini dan kami akan mengambil kekalahan ini secara positif kerana ianya adalah satu pelajaran yang sangat baik. Tidak ada siapa pun yang memberi harapan kepada kami namun berjaya layak ke separuh akhir.
“Saya bangga dengan pemain dan tidak boleh meminta lebih dari mereka dengan apa yang telah dilakukan dalam kejohanan ini.”
Dengan kekalahan Kedah, tinggal hanya KL City sebagai wakil Malaysia di Piala AFC, di mana mereka akan menentang wakil Vietnam, Viettel FC juga di peringkat separuh akhir zon Asean pada Rabu.