Bernd Leno disuruh bunuh diri kerana aksi buruk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Media sosial ibarat sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita masa kini, lebih-lebih lagi bagi seseorang berstatus ‘public figure’ atau personaliti terkenal, pastinya berbangga apabila mempunyai ramai followers di facebook, instagram, twitter sebagainya.

Lain pula ceritanya dengan penjaga gol Arsenal, Bernd Leno, yang mendedahkan bahawa dia menjauhkan diri daripada platform tersebut, semuanya gara-gara komen berunsur provokasi terhadapnya beberapa tahun lalu.

Bernd Leno yang mengharungi musim ketiganya bersama Arsenal berkata dia disuruh membunuh diri sepertimana dilakukan rakan senegaranya Robert Enke (bekas penjaga gol Jerman), kerana bermain teruk dalam satu perlawanan.

Robert Enke yang juga merupakan bekas penjaga gol Barcelona, Benfica dan Hannover 96 membunuh diri dengan terjun di depan keretapi ekspress yang sedang bergerak pada 2009, selepas beberapa tahun berperang menangani tekanan.

“Saya melalui satu perlawanan yang sangat teruk dan kemudiannya ada seseorang memberitahu saya di media sosial ‘buatlah sama seperti Enke’. Apabila membaca komen tersebut saya sedar bahawa terdapat ramai orang bodoh di media sosial.

“Itu adalah sebab saya jauhi daripada membaca komen di media sosial walaupun pada hari saya beraksi bagus, saya tidak perlukannya, ia tidak menjadikan saya lebih baik, hanya membuang masa.

“Terlalu ramai manusia palsu yang berselindung di sebalik komputer dan cuba membuatkan anda berasa sangat teruk dan tertekan. Provokasi perkauman, ugutan dan penghinaan kepada keluarga, saya sangat membencinya. Ia memberi kesan kepada hidup anda, semua itu tidak perlu,” kata Leno yang merupakan penjaga gol utama the gunners.

Permintaan supaya syarikat pengendali media sosial supaya mengambil tindakan tegas ke atas pengguna yang menghantar mesej atau komen berunsur provokasi dan penindasan semakin kuat dilaungkan sejak beberapa minggu kebelakangan selepas Marcus Rashford dan Anthony Martial (Manchester United); Reece James (Chelsea) dan Romaine Sawyers (West Brom) menjadi sasaran terbaru serangan.

Malah Instagram pada minggu lalu mengumumkan bahawa beberapa langkah dan tindakan tegas akan dilaksana bagi menangani masalah tersebut, termasuk memadam akaun pengguna yang didapati terlibat dengan diskriminasi atas talian.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.