Beto digantung 2 perlawanan, Jack Hindle tarik nafas lega

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah PJ City FC Ahmad Khairil Anuar Zamri dikenakan penggantungan dua perlawanan, selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti insiden membabitkannya ketika perlawanan menentang Melaka United pada 10 Mac lalu.

Dalam perlawanan itu, Ahmad Khairil Anuar atau lebih dikenali sebagai Beto, menjatuhkan diri di dalam kotak penalti dan memegang kakinya seolah telah dikasari meskipun tiada sentuhan oleh mana-mana pemain Melaka United.

Pengadil Fairuzi Mohd Desa bagaimanapun tertipu dengan lakonan pemain itu dan menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City.

Fairuzi bagaimanapun telah terlebih dahulu dikenakan hukuman penggantungan dua minggu disebabkan kesilapannya itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Baljit Singh Sidhu, tindakan Beto ini tidak menunjukkan kelakuan bersemangat sukan dan dia juga diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan itu atau bakal berdepan hukuman lebih berat.

Pemain Selangor II Hein Htet Aung pula dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan akibat dari tindakannya mempamer simbol berbaur politik ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang PDRM FC.

Sementara itu, pemain import Kelantan FC Jack Hindle pula boleh menarik nafas lega apabila tindakannya menolak pengadil secara aggresif sekadar diberikan amaran keras.

Jack Hindle menolak Amirul Aizat Awang Lodin sehingga jatuh tergolek ketika perlawanan antara Kelantan FC dan Perak pada 6 Mac lalu, berikutan pengadil itu berada di depannya ketika dia mahu menerima bola dari rakan sepasukan.

Turut diberi amaran keras adalah pemain Melaka United, Alex Dos Santos Goncalves susulan tindakan tidak bersemangat sukan ketika perlawanan menentang PJ City FC.

FAM bagaimanapun belum mengumumkan apa tindakan diambil ke atas pemain tengah Johor Darul Takzim, Natxo Insa yang bertindak menolak pengadil ketika perlawanan menentang Perak FC.

FAM sebelum ini mengumumkan bahawa kes pemain itu telah dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib berdasarkan bukti rakaman video.

Menjadi persoalan juga kenapa tidak semua insiden yang dirujuk ke Jawatankuasa Pengadil dibincangkan sekali harung apatah lagi saingan liga juga sedang berhenti rehat sebaliknya perlu menunggu mesyuarat yang berikutnya untuk membuat keputusan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.