Betul Ke ‘Track-Record’ Sathianathan Tak Cukup Bagus?

Sathianathan
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini, Khalid Jamlus ada menyatakan pandangan peribadinya bahawa B.Sathianathan adalah calon paling sesuai untuk membimbing dan memulihkan prestasi pasukan itu yang sedang melalui fasa paling buruk dalam sejarah 100 tahun mereka.

Bagi Khalid Jamlus, ada beberapa sebab utama dia meyakini kredibiliti Sathianathan. Pandangan itu dinyatakan bekas penyerang kebangsaan itu sebelum Chong Yee Fatt direhatkan dan digantikan oleh Shahril Khalil.

Terlepas berita berkenaan? Baca di sini : Sathianathan calon sesuai bimbing Perak FC

Namun itu bukanlah bermakna Sathianathan yang kini bersama Sarawak United sebagai Pengarah Teknikal tidak boleh dipertimbangkan untuk mengemudi pasukan itu untuk masa akan datang, atau lebih tepat pada musim 2022.

Jika Perak FC tersingkir ke Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Super, Sathianathan sudah tentunya antara pilihan terbaik untuk mengembalikan mereka ke landasan gemilang.

Dengan syarat, janganlah ada isu-isu luar padang yang menganggu pemain daripada menterjemahkan permainan terbaik mereka.

Ramai penyokong The Bos Gaurus berpendapat Sathianathan boleh diberi peluang, tetapi ada juga segelintir penyokong mengatakan ‘track-record’ bekas jurulatih kebangsaan itu tidak bagus walaupun dia adalah nama yang berprofil tinggi.

Benarkah begitu, atau ia sekadar satu andaian semata-mata?

Labola Malaya membawa anda melihat semula pencapaian Sathianathan dalam kancah Liga Malaysia, bermula dengan beliau membimbing pasukan Kelantan pada 2010, dan anda sendiri putuskan sama ada ‘track-recordnya’ bagus atau tidak.

Kelantan FC (pertengahan 2009 – pertengahan 2011)

Sathianathan datang ke Kelantan sebagai pengganti Peter Butler sebelum bermula kempen Piala Malaysia 2009. Dia memacu pasukan layak ke final sebelum tewas kepada Negeri Sembilan.

Pada 2010, Sathianathan membimbing The Red Warriors muncul naib juara Liga Super dengan hanya empat mata di belakang Selangor. Lebih manis menoktahkan penantian 84 tahun Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia, menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi final.

Pada 2011, Sathianathan digantung FAM menyebabkan tidak dapat membimbing pasukan tetapi dia bertindak sebagai Pengarah Teknikal dan berganding bahu dengan Datuk M.Karathu untuk menghadiahkan trofi Liga Super pertama kepada Kelantan.

ATM (2012 – 2015)

Musim pertamanya bersama ATM, Sathianathan membimbing mereka menjuarai Liga Premier sekaligus layak ke Liga Super 2013.

Tahun yang sama ATM mara ke final Piala Malaysia, tewas kepada Kelantan menerusi jaringan masa tambahan Indra Putra Mahyuddin.

Dia memulakan musim 2013 dengan menjulang Piala Sumbangsih, menjadikan ATM antara pasukan kompeten di Liga Super dengan menamatkan saingan di kedudukan enam teratas meskipun berstatus pendatang baru.

Tidak lupa, ATM mara ke separuh akhir Piala Malaysia, sekali lagi dikecewakan Kelantan.

Pada 2014, ATM mula dihimpit masalah tunggakan gaji menyebabkan prestasi mereka merosot teruk namun Sathianathan memastikan mereka kekal di Liga Super. Bagaimanapun situasi sama berlaku lagi pada 2015, menyebabkan Sathianathan dipecat pada bulan April.

Felda United (2017 – 2018) 

Mungkin tidak ramai yang perasan, Sathianathan dibawa masuk menggantikan Azmi Mohamed sebagai pengendali Felda United ketika pasukan itu bergelut di zon penyingkiran dan menunjukkan prestasi buruk.

Dia membawa Felda United menamatkan saingan di kedudukan ketiga Liga Super 2017 tetapi pasukan disingkirkan ke Liga Premier kerana isu pelesenan kelab.

Sathianathan juga membawa pasukan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan dinobatkan Jurulatih Terbaik 2017.

Pada 2018, Sathianathan berjaya membimbing Felda United menjuarai Liga Premier dan kembali beraksi di Liga Super. Penstrukturan semula kewangan pasukan menyebabkan dia memilih untuk tidak menyambung kontrak.

Selangor FC (2019-2020)

Musim pertama bersama Selangor, dia membimbing pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Super (pencapaian yang jauh lebih baik berbanding no.6 pada 2017 dan no.8 pada 2018) serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Berita berkaitan : Impak dibawa Sathianathan wajar dihargai penyokong Selangor

Hanya pada musim 2020 yang berlangsung separuh musim, segalanya serba tidak menjadi apabila Red Giants hanya menang dua daripada lapan perlawanan dan dia dipecat selepas kekalahan 1-6 kepada JDT.

Secara keseluruhan, melihat apa yang dikecap bermula dengan Kelantan, kemudiannya ATM, Felda United dan Selangor, adakah benar track-record Sathianathan tidak berapa bagus?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.