Betulkan pemahaman, FIFA tiada kuasa gantung mana-mana kelab

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tak bayar tunggakan gaji yang diarahkan oleh FIFA boleh menyebabkan kelab digantung atau dibubarkan, betul ke macam tu? Sebenarnya tidak.

Ramai yang salah faham mengenai situasi yang berlaku apabila sesebuah pasukan mengingkari arahan FIFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

Justeru itu timbullah situasi panik yang tidak sepatutnya.

Kita ambil contoh terdekat, kes membabitkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang telah pun diarahkan untuk menyelesaikan tunggakan gaji Cassio Francisco, Bruno Lopez dan beberapa lagi pemain import.

Sebenarnya tanggapan bahawa KAFA akan digantung atau berkubur sekiranya gagal menyelesaikan hutang itu adalah salah.

Ini kerana hukuman yang akan dikenakan FIFA ke atas KAFA adalah larangan pendaftaran pemain baru/sekatan di pintu perpindahan. Jika kes kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA, badan induk bolasepak dunia itu akan mengarahkan FAM untuk melaksanakan pemotongan mata.

Selagi tak bayar, selagi itu larangan pendaftaran dan sekatan perpindahan akan berkuatkuasa. Pasukan boleh kekal bermain selagi mereka mempunyai pemain yang cukup untuk meneruskan saingan, dan selagi gaji pemain sedia ada itu dibayar dan tidak bermasalah.

Mereka hanya akan berkubur andai sudah tiada sumber kewangan even untuk membayar gaji pemain sedia ada. Sebab itu jangan ‘lorakk’ lepaskan pemain Piala Presiden, mereka ini adalah penyelamat apabila tiada pemain baru boleh didaftarkan.

Tetapi adakah ini bermakna pasukan boleh buat diam, abaikan sahaja tuntutan tunggakan kerana mereka bukannya kena gantung pun.

Tidak. Kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik balik lesen dan membatalkan penyertaan dalam kancah Liga Malaysia sepertimana pernah terjadi kepada Perlis.

Perlis berkubur bukan kerana mereka digantung FAM atau FIFA, mereka cuma dibatalkan penyertaan oleh MFL dalam kancah Liga Malaysia. Boleh semak semula kenyataan dikeluarkan MFL pada Februari 2020, tiada menyebut pasukan itu digantung.

Mereka berkubur kerana sudah tiada duit langsung untuk terus beroperasi. Kalau ada duit pasukan Singa Utara boleh sahaja bermain dalam Liga M3 dan dalam masa sama ambil inisiatif menyelesaikan tunggakan gaji.

Bukan sahaja penyokong, malah orang dalam persatuan juga tidak memahami dengan jelas perkara ini.

Ini terbukti apabila Presiden Persatuan Bolasepak Perlis yang baru, Zamri Ibrahim dalam satu laporan akhbar Januari lalu berkata mereka telah digantung FIFA, sebenarnya itu tidak betul.

Justeru, KAFA janganlah terlalu cepat melatah kononnya jika gagal langsaikan hutang Cassio, Bruno dan lain-lain, mereka akan berkubur. Anda tidak akan berkubur selagi gaji pemain sedia ada dibayar, tetapi tuntutan-tuntutan yang tidak dibayar boleh menyebabkan lesen ditarik balik dan disingkirkan ke M3, bukannya berkubur atau terbubar.

Carilah jalan untuk memastikan gaji pemain sedia ada tidak tertunggak terlebih dahulu, kemudian fikirkan solusi selesaikan tunggakan. Selesaikan perkara pokok, lihat prioriti, jangan sibuk nak setelkan gaji Cassio dan Bruno kerana yang akan membuat anda terus bernyawa adalah gaji pemain sedia ada. Kalau benda ni pun tak faham, tak perlu berada di dalam persatuan.

Nota : Telah rujuk terlebih dahulu dengan sumber dalaman FAM sebelum artikel diterbitkan.

Foto : Kelantan FA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.