Beza pemikiran Persatuan Bolasepak Jerman, Belanda dan Norway dengan Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gesaan untuk memboikot Piala Dunia 2022 di Qatar semakin lantang kedengaran sebagai menunjukkan tanda protes kepada negara tuan rumah itu yang menindas dan memberi layanan buruk kepada buruh asing.

Media antarabangsa melaporkan lebih 6,500 golongan pekerja asing yang terlibat dengan projek Piala Dunia sejak Qatar memenangi bidaan 10 tahun lalu telah meninggal dunia disebabkan kemalangan di tempat kerja atau penyakit berkaitan dengan pekerjaan mereka.

Kematian mereka tidak pernah mendapat pembelaan wajar selain tidak menerima gaji yang setimpal, justeru Qatar dikecam teruk berhubung isu hak asasi dan kemanusiaan.

Sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada nilai kemanusiaan, pemain-pemain Jerman bergambar dengan memakai baju tertulis HUMAN RIGHTS (seorang satu huruf); Belanda pula baju tertulis ‘Football Needs Change’ manakala Norway bergambar dengan memakai baju tertera ‘hak asasi manusia, di dalam dan luar padang’ sebelum sepak mula perlawanan kelayakan Piala Dunia masing-masing baru-baru ini.

Pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich berkata untuk memboikot pertandingan itu yang akan berlangsung tahun depan adalah tidak relevan tetapi menurutnya adalah penting meningkatkan kesedaran mengenai isu kemanusiaan.

“Kita sudah 10 tahun lewat untuk melakukannya (boikot). Qatar bukan dipilih sebagai tuan rumah hanya pada tahun ini, dan penindasan telah berlaku sejak ketika itu lagi. Jadi kalau nak boikot, patut memikirkannya ketika itu.

“Sekarang ini kita perlu untuk mengambil setiap peluang dan menggunakan sebaiknya publisiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini (kemanusiaan).

“Sebagai pemain bolasepak, kita ada beberapa tanggungjawab, tanggungjawab untuk bercakap dan menunjukkan solidariti terhadap isu kemanusiaan. Dalam hal ini, kami tunjukkan secara spontan menerusi pemakaian t-shirt.

“Tetapi ia bukan tanggungjawab pemain bola semata-mata, kita semua perlu bersatu,” ujar Joshua Kimmich.

Persatuan Bolasepak Jerman berdiri teguh di belakang para pemain dan menyokong penuh tindakan mereka, menyifatkan ia sebagai menunjukkan komitmen pemain kepada nilai demokratik.

FIFA memutuskan untuk tidak membuka siasatan mahupun mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap skuad Jerman, Norway mahupun Belanda atas dasar kebebasan bersuara dalam sukan bola sepak.

Berbeza ceritanya di Malaysia, pemain Selangor II dari Myanmar Hein Htet Aung digantung satu perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana meraikan jaringan dengan menunjukkan simbol tiga jari sebagai tanda solidariti kepada rakyat Myanmar yang terkorban kerana berjuang menentang pencabulan demokrasi dan tindakan kekerasan di negaranya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.