Biar Kim Pan-gon Jadi Ketua Jurulatih Merangkap Pengurus Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan bersetuju sekiranya ketua jurulatih Harimau Malaya turut bertindak sebagai pengurus pasukan.

Menurutnya, dengan cara tersebut, ketua jurulatih akan mendapat kuasa autonomi dalam membentuk pasukan yang diinginkan dengan mengusulkan cadangan tersebut kepada hanya pihak atasan tanpa melalui pihak yang lain.

“Kalau kita lihat trend mana-mana pasukan di peringkat atasan mereka akan meletakkan ketua jurulatih itu sebagai pengurus pasukan supaya tiada percanggahan pendapat atau idea daripada pihak yang lain.

“Ini supaya apa yang dirancang oleh jurulatih itu dapat berjalan dengan lancar tanpa ada gangguan yang saya lihat akan membantu prestasi pasukan itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar.

Beliau bagaimanapun meminta penyokong supaya tidak meletak harapan atau ekspetasi tinggi untuk melihat kejayaan segera di bawah ketua jurulatih baru, Kim Pan-gon.

Kata Wan Jamak, masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat pengendali kelahiran Korea itu termasuklah untuk menilai pemain-pemain skuad kebangsaan.

Tambahnya lagi, dengan reputasi hebat yang dimiliki Pan-gon sebelum ini selain kehadiran beberapa jurulatih yang dibawa masuk olehnya bagi membantu pasukan kebangsaan, beliau berharap Harimau Malaya mampu mengaum semula sekali gus menjadi antara pasukan terkuat di rantau Asia Tenggara.

“Sudah tentu kita tidak boleh lihat kejayaan dengan cepat selepas pelantikan Pan-gon kerana ia bukan satu tugas mudah buat dirinya kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Berikan dia sedikit masa untuk lakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan. Tetapi dalam masa yang sama jangan bagi dia terlalu selesa tanpa tekanan sangat.

“Sebab kita takut jika dia terlalu selesa dengan tugasnya, dia tidak akan dapat buat dengan baik dan akan merugikan pasukan kebangsaan itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.