“Biar Sahaja Perak FC Main Di Liga Premier”

Perak FC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Biar sahaja Perak FC bermain di Liga Premier dan memperbetulkan dulu segala kepincangan membabitkan pengurusan, kewangan dan pembangunan kelab.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, atau dikenali sebagai Shebby.

Perak FC dilihat sukar untuk menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah penyertaan di Liga Super, namun Shebby tidak menganggap ia sebagai malapetaka buat bolasepak negeri itu.

Sebaliknya dia melihat ia dari sudut positif dan menganggap ia peluang terbaik untuk mereka membentuk semula pasukan daripada bawah dan kembali bangkit sebagai sebuah pasukan lebih kuat.

“Kadang-kadang turun satu divisyen lebih baik dan mereka boleh susun semula untuk bangkit balik. Kalau di Liga Super tiada masa nak susun balik dan Perak nampak tak ada satu rangka yang kukuh dalam pasukan.

“Perak macam tiada hala tuju, tak nampak apa yang mereka sedang bina atau sedang menuai. Seakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau nak bahasa kasarnya ‘hidup segan mati tak mahu’.

“Kalau kekal di Liga Super, tahun depan nak kena ada pelaburan, kena cari pemain yang lebih baik dan sebagainya. Besar kemungkinan mereka akan kehilangan pemain juga.

“Kalau turun (liga) pun akan hilang, tak turun pun akan kehilangan pemain. Jika turun musim ini tak apa, penyokong Perak perlu faham, lebih baik turun musim ini dari tunggu setahun lagi pun turun juga.

“Kita tak nampak hala tuju dan pemain muda untuk masa depan pun tak ada, duit untuk cari pemain baharu tak ada, jadi? lagi baik turun,” katanya dipetik daripada BH Sukan.

Berdasarkan rekod terdahulu, antara pasukan yang pernah jatuh ke Liga Premier tetapi berjaya untuk kembali sebagai pasukan yang lebih baik termasuklah Sri Pahang, Kedah Darul Aman FC, Penang FC dan Terengganu FC.

Perak FC musim ini berdepan pelbagai kemelut, sejak sebelum musim bermula membabitkan isu jurulatih, logo baru pasukan sehinggalah ke tunggakan gaji yang menyebabkan begitu ramai pemain tonggak meninggalkan pasukan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.