“Biasalah Sepak Penalti Tak Masuk”, Hadi Fayyadh Mahu Jadi Orang Pertama Sepak Penalti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti ketika Malaysia tewas kepada Indonesia dalam aksi Sukan SEA 2021 pada Ahad lalu, tidak menjadi trauma buat penyerang sensasi skuad B-23 negara Hadi Fayyadh Abd Razak.

Penyerang berpangkalan di Jepun berkata sepak penalti tak masuk adalah perkara biasa dalam bolasepak dan keyakinannya tetap tinggi untuk mengambil sepakan tersebut lain kali, jika mendapat peluang tersebut.

“Sudah semestinya saya mahu mengambil sepakan penalti, sebagai penyerang saya dahagakan jaringan gol, jadi jika ada penalti, saya akan jadi orang pertama untuk mengambilnya.

“Dalam bola sepak ini (gagal sepak masuk penalti) perkara biasa, penalti kadang-kadang masuk dan tak masuk dan memang ikutkan nasib, yang penting kita cuba. Insya- Allah masa hadapan akan cuba yang terbaik,” kata Hadi Fayyadh.

Selain Hadi Fayyadh, turut gagal menyempurnakan penalti pada perlawanan penentuan pingat gangsa itu adalah Luqman Hakim, menyaksikan Malaysia tewas 3-4 setelah kedudukan masa sebenar berakhir 1-1.

Hadi Fayyadh menjaringkan gol tunggal skuad negara yang mana ianya merupakan gol ketiga penyerang itu di temasya Sukan SEA 2021 setelah terdahulu meledak dua jaringan ketika mencatat keputusan seri 2-2 menentang Kemboja.

“Secara jujurnya saya belum berpuas hati dengan persembahan, beraksi pada enam perlawanan dan menjaringkan tiga gol masih banyak perlu dipelajari dan diperbaiki. Saya akan terus berusaha dan memperbaiki kekurangan pada masa akan datang,” kata Hadi Fayyadh lagi.

Pemain itu kini mengalihkan fokusnya untuk membantu skuad Brad Maloney menghadapi cabaran Piala Asia B-23 di Uzbekistan bulan depan.

Dalam pada itu, Brad Maloney pula memberi bayangan tidak akan melakukan rombakan terhadap skuad Sukan SEA dan mereka akan dikekalkan bagi membawa cabaran di Piala Asia B-23.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, mungkin semua pemain yang beraksi di temasya Sukan SEA akan dibawa ke Uzbekistan kerana kami tidak mempunyai pilihan pemain lagi dengan pasukan sedia ada sudah menunjukkan keserasian yang baik.

“Meskipun kami tidak dapat meraih sebarang pingat, apa yang dilalui pasukan di Vietnam sangat positif dengan kita dapat bersaing enam perlawanan antarabangsa dalam tempoh 14 hari.

“Namun, fokus utama ketika ini adalah untuk mengharungi Piala Asia B-23 dan harap pasukan mampu merekodkan keputusan positif di sana nanti,” ujar Brad.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.