Kemelut kewangan melanda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) banyak dikaitkan dengan kepimpinan di bawah bekas Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan.
Usahawan batik itu mengambil alih tampuk pimpinan daripada Tan Sri Annuar Musa pada September 2017 dan pantas memenangi hati penyokong apabila menyelesaikan beberapa masalah berbangkit terutama mengenai tunggakan gaji.
Disangka panas sampai ke petang, segalanya berubah hanya beberapa bulan selepas itu, bermula dengan kegagalan memperbaharui kontrak Indra Putra Mahyuddin dan disusuli pelbagai isu membabitkan kontrak pemain yang ditamatkan secara pra-matang – punca utama kepada masalah yang dihadapi KAFA ketika ini.
Namun Bibi Ramjani memberitahu, beliau tidak wajar dipersalahkan atas apa yang berlaku kerana sepanjang menjadi Presiden KAFA dia telah cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji dengan menggunakan duit sendiri, secara kasarnya lebih RM6 juta sebelum melepaskan jawatan pada pertengahan 2019.
“Dalam tempoh dua, tiga bulan pertama menjadi presiden saya sudah habiskan kira-kira RM3.2 juta untuk membayar hutang (tunggakan gaji) KAFA. Tunggakan gaji sahaja kira-kira RM2 juta, tidak termasuk kes FIFA. Jumlah wang yang digunakan itu termasuk bantuan wang daripada beberapa Exco KAFA yang diberikan dalam bentuk pinjaman. Ia kerana ketika itu kami tidak ada penaja dan terpaksa keluarkan wang sendiri.
“Jika dikira jumlah keseluruhan lebih RM6 juta dikeluarkan untuk membantu KAFA. Jadi, rasa terkilan juga sebab kita sudah berkorban wang ringgit membantu KAFA tapi orang masih menyalahkan kita,” kata Bibi kepada Berita Harian.
Tambahnya lagi, “Saya dulu didesak letak jawatan, jangan salah faham, bukan lari daripada menanggung hutang KAFA. Kalau saya tak letak jawatan pun, pemilihan tetap akan dibuat. Sebab itu (sebelum letak jawatan) saya minta siapa yang nak jadi presiden datang jumpa saya untuk saya bagi penjelasan terperinci mengenai hutang-hutang KAFA, supaya saya tidak dipersalahkan.
“Saya tak salahkan pengurusan lama atau pengurusan sekarang. Siapa yang mahu ambil alih KAFA, mereka perlu bersedia untuk menanggung bebanan hutang.”
KAFA ketika ini berdepan dengan tuntutan demi tuntutan tunggakan gaji dan pampasan daripada pemain-pemain musim 2018 yang ditamatkan kontrak oleh Bibi Ramjani seperti Cassio Francisco De Jesus, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi (kesemuanya kes FIFA) serta pemain-pemain tempatan seperti Khairul Fahmi, Norfarhan Muhammad, Badhri Radzi, Fauzi Roslan, Amiridzwan Taj dan ramai lagi.
Walaupun pada awalnya pengurusan baru KAFA di bawah Wan Rahim Wan Abdullah dilihat cuba menyelesaikan beberapa tunggakan menerusi kerjasama dengan TRW Sdn Bhd namun kemelut bertambah buruk selepas penularan Covid-19 di mana KAFA kehilangan sumber pendapatan dan disusuli pengunduran Datuk Wan Rakemi Wan Zahari sebagai Pengarah Urusan dan Exco KAFA pada bulan Mei lalu.
Situasi semasa tidak menampakkan KAFA akan berupaya menyelesaikan hutang-hutang yang bertimbun itu dan hampir pasti akan dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.
Foto : NSTP