Pengendali Johor Darul Takzim, Hector Bidoglio menganggap pasukannya berada pada prestasi yang cukup luar biasa setelah mengharungi 18 perlawanan tanpa kalah dalam saingan domestik musim ini.
Begitupun dia mengakui ia bukan mudah untuk barisan pemainnya mengekalkan momentum, mengambil kira intensiti setiap perlawanan adalah berbeza, terutama apabila bermain di tempat lawan.
Kemenangan ke atas Terengganu dua hari lalu menyaksikan JDT mengukuhkan cengkaman di tempat teratas Liga Super dengan kelebihan empat mata mengatasi Sabah, dalam masa sama melebarkan rekod tanpa kalah di tempat lawan kepada 44 perlawanan.
Ia jelas mengujakan Bidoglio yang baru sahaja mengambil alih tugasan ketua jurulatih daripada Benjamin Mora kira-kira dua minggu lalu.
“Dalam bolasepak, “setiap perlawanan adalah berbeza.” Meskipun kami bermain dengan corak permainan kami ketika di laman sendiri di Johor, perlawanan di tempat lawan sentiasa memerlukan pendekatan yang berbeza dan kami perlu menukar corak taktikal untuk memastikan kami mendapat mata, yang mana merupakan motif utama buat kami apabila berada di padang.
“Ia bukan suatu perkara biasa di mana sesebuah pasukan menjadi ‘unbeaten’ di tempat lawan untuk 44 perlawanan liga, jadi saya perlu memuji pasukan untuk sebuah pencapaian yang hebat kerana setiap perlawanan di tempat lawan adalah berbeza. Kami mesti berusaha untuk mengekalkan rekod yang luar biasa ini.
“Beberapa pemain kami juga keletihan setelah beraksi enam dari lapan perlawanan terakhir di tempat lawan. Kami telah melakukan penggiliran skuad dalam beberapa permainan namun masih ada beberapa pemain yang keletihan seperti Shane Lowry, Shahrul Saad, Fernando Forestieri, Arif Aiman dan beberapa pemain lagi.
“Kami juga mempunyai beberapa pemain seperti Natxo Insa dan Syamer Kutty yang cedera manakala Matt Davies dan Bergson Da Silva baru kembali dari kecederaan.
“Kami akan menggunakan beberapa hari ini untuk pemulihan, persediaan dan perjalanan untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC menentang Urawa Reds di Jepun pada 19 Ogos,” ujar Bidoglio.