“Bila Dah Kena Balon, Saya Pun Pening” – Ahmad Faizal Mohon Maaf Guris Hati Penyokong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada penyokong bolasepak tanah air kerana kenyataan dangkal yang dikeluarkannya susulan kekalahan kepada Bahrain baru-baru ini.

Melalui media sosialnya, Ahmad Faizal berkata, “Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai. (Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap2 bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya.”

Terdahulu, Ahmad Faizal menyatakan bahawa sorakan lebih 60,000 penyokong adalah punca pemain hilang fokus dan tidak dapat beraksi dengan baik sehingga menyebabkan mereka gagal mempertahankan kelebihan satu gol seterusnya tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia.

“Seingat saya, sejurus jaringan pertama pada aksi itu, kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula, akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus menyebabkan skuad kita terlepas peluang menjaringkan gol. Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton pun menyumbang kepada larinya fokus pemain.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun yang mana orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun akan hilang sedikit,” katanya.

Malah beliau juga meminta penyokong supaya belajar untuk menerima kekalahan dan bukannya menuding jari kepada sesiapa, sepertimana Farizal Marlias disalahkan kerana menghadiahkan penalti yang membawa gol kemenangan Bahrain.

“Biarpun sedih atas kekalahan yang menimpa, jangan terlalu menyalahkan orang lain seperti diri sendiri terlalu sempurna. Pada saya, sudah banyak jasa Farizal sebagai penjaga gol negara kepada kita yang mana beliau dedikasikan hidup dia kepada sukan.

“Sudah tentu beliau tidak mahu gagal. Namun kesilapan sudah pun berlaku dan seharusnya kita lebih banyak belajar dan bukannya menuding jari hingga dapat merosakkan (reputasi) beliau sebagai atlet,” ujar Ahmad Faizal.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.