“Bila Dah Selalu Menang, Kalah Sesekali Tak Apa Untuk Berevolusi – Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora menganggap kekalahan di final Piala Malaysia 2021 memberi pengajaran yang berguna kepada pasukannya.

JDT bukan sahaja gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, malah lebih memalukan tewas kepada pasukan bukan pilihan KL City yang pada mulanya dianggap mudah dijinakkan oleh mereka.

Baca : Main Tiga Hari Pun Mereka Tak Boleh Skor Gol – Bojan Hodak

Menurut pengendali dari Mexico itu, adakalanya pasukan perlu merasai kekalahan setelah selalu menang untuk bangkit menjadi pasukan yang lebih baik dan memburu lebih kejayaan di tahun-tahun mendatang.

“Ini adalah lumrah bola sepak. Selepas kita tidak tewas lebih 20 perlawanan, hari ini (kelmarin) adalah giliran kami untuk kalah walaupun menyakitkan apabila tewas di final.

“Tetapi kami tahu, kami mengharungi tahun yang baik apabila memecahkan beberapa rekod. Kami adalah juara liga tetapi kami perlu belajar daripada (kekalahan final) ini dan teruskan kerja.

“Saya tidak rasa pemain saya terlalu yakin kerana mereka tetap fokus. (Gol) hanya berpunca daripada kesilapan individu dan tiada sesiapa patut dipersalahkan. Pemain sudah berikan yang terbaik.

“Kegagalan perlu ada untuk kita meraih kejayaan. Kalau kita tidak merasainya, mungkin sukar untuk kita terus berevolusi dan dapat melihat apa yang sepatutnya kami buat untuk terus mendominasi,” katanya.

Selasa lalu, jaringan oleh Zhafri Yahya dan Paolo Josue memberikan kemenangan 2-0 kepada skuad bimbingan Bojan Hodak lantas menyaksikan pasukan KL City menoktahkan penantian panjang selama 32 tahun untuk mendakap trofi Piala Malaysia. Mereka juga berjaya menyambar tiket beraksi di Piala AFC 2022.

Manakala JDT pula, walaupun menutup musim dengan kekecewaan, mereka tetap ada pencapaian hebat untuk dibanggakan apabila menjulang Liga Super buat kali kelapan berturut-turut selain memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim.

Sementara itu, mengenai masa depannya bersama skuad Harimau Selatan itu, Benjamin Mora menyerahkannya kepada pengurusan untuk membuat keputusan.

“Mungkin (hilang pekerjaan) tetapi bukan saya yang membuat keputusan itu. Saya ada hubungan yang baik dengan pengurusan dan pemain. Saya sentiasa cuba untuk menang dan berusaha melakukan yang terbaik untuk JDT.

“Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berpendapat itulah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya.

“Tetapi buat masa ini kami dalam keadaan sukar, kami okey, kami baik dan selepas ini kami akan mengkaji semula keadaan bila tiba masanya,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.