‘Bila dengar merah kuning lambang kebanggaan, aura luar biasa meresap dalam diri’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kesayangan Selangor, Azman Adnan mempunyai keyakinan tinggi pasukan itu akan kembali kepada era gemilang bolasepak mereka namun menegaskan ia bukan sesuatu yang boleh dikecap dalam sekelip mata.

Persatuan Bolasepak Selangor ketika ini sedang giat membuat persiapan bagi musim baru dengan melakukan rombakan terhadap barisan pemain dan dilaporkan telah melantik Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baru.

Menurut Azman Adnan selain pihak pengurusan yang suportif dan jurulatih yang bagus, Selangor perlukan pemain yang betul-betul berjiwa merah kuning dalam masa sama mempunyai penyokong yang matang dan memahami.

“Merah Kuning bukan sebuah pasukan biasa kerana ia mempunyai legasi dan sejarah tersendiri. Jadi, kita sebagai peminat pula, secara jujurnya saya juga adalah peminat Selangor, jangan kita mengharapkan kejayaan itu terlalu cepat.

“Contohnya selepas kita tukar jurulatih, kita mahu tahun itu juga menjadi juara. Saya rasa hanya magis dan nasib sahaja boleh menjadi seperti itu kerana apabila jurulatih diberikan peranan, waima jurulatih dari mana sekalipun, kita perlu memberikannya masa dan ruang.

“Jurulatih memang memainkan peranan tetapi walaupun dari Jerman atau dari mana sahaja, apa yang penting adalah bagaimana pihak pengurusan akan bekerjasama dengan jurulatih dan dalam masa sama pemain sendiri perlu memainkan peranan untuk ke depan.

“Apabila saya memakai jersi Merah Kuning, saya rasakan satu kebanggaan, saya merasakannya bukan sahaja di Stadium Shah Alam kerana saya bermula di Stadium Merdeka. Dengan kehadiran penyokong dan sambutan yang diberikan, saya cukup terharu apabila lagu Merah Kuning berkumandang sebelum perlawanan.

“Apabila mendengar ‘merah kuning lambang kebanggaan’, aura luar biasa meresap dalam diri dan menaikkan semangat juang saya. Kita ada legenda kita, iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari, jadi sejarah itu telah membuatkan Selangor dulu, setiap lawan pasti akan memberikan lebih daripada 100 peratus.

“Sekarang ini giliran JDT (Johor Darul Ta’zim) pula. Kita perlu memilih pemain yang betul-betul berjiwa Merah Kuning,” katanya dalam Nadi Weekend.

Sebagai rekod, Azman Adnan diketengahkan Kuala Lumpur sebelum mencipta nama sebagai penyerang disegani era 90-an bersama Selangor.

Sepanjang menyarung jersi Red Giants dari 1993-1998 dan kemudiannya 2002-2004, beliau menjulang 4 trofi Piala Malaysia, sekali Piala FA dan 3 Piala Sumbangsih selain kejuaraan Liga Semipro Divisyen 2 pada 1993.

Selain KL dan Selangor, Azman Adnan juga pernah menyarung jersi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, selain pernah menyarung jersi kebangsaan.

Selepas bersara sebagai pemain, beliau pernah terlibat di dalam bidang kejurulatihan, menjadi jurulatih PDRM FA (2014) dan Tun Razak FC (2019).

Foto : Ihsan Fan Club Azman Adnan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.