Bina reputasi mengagumkan dalam futsal, Rahimi tidak pernah menyesal tinggalkan bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bagi peminat bolasepak namanya mungkin agak asing, tetapi dalam arena futsal Rahimi Shatar mempunyai reputasi yang mengagumkan.

Rahimi yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan merupakan bekas pemain Piala Presiden Kelantan 2002, malah pernah diserap ke skuad Liga Perdana Satu musim tersebut oleh Datuk K.Rajagobal, menjadi sparring partner kepada Shahrizan Ismail, Sani Fahmi dan Sani Anuar.

Antara pemain seangkatannya adalah Tengku Hasbullah Raja Hassan, Azlan Ismail, Sani Anuar Kamsani dan Afif Amirudin.

Kerana keinginan keluarga yang mahukannya mendapatkan kerja tetap, Rahimi memilih meninggalkan bolasepak dan berkhidmat sebagai bomba di Kuantan.

Rahimi atau disapa ‘Mie Bombo’ oleh kenalan, kemudiannya berjinak-jinak dengan futsal dan membina reputasi mengagumkan – 12 tahun berturut-turut bermain di Liga Futsal Kebangsaan (LFK) bersama-sama pasukan Majlis Perbandaran Kuantan, Pahang dan Melaka.

Dia juga pernah dinobatkan penjaga gol terbaik LFK 2011 selain menyarung jersi kebangsaan selama beberapa tahun.

Pada 2017, Rahimi menyertai Kuantan Rangers (Pahang Rangers) dan menjadi pemain paling senior di dalam pasukan, berusia 34 tahun ketika itu lantas digelar ‘Petr Cech of Futsal’. Meskipun berstatus veteran, Rahimi mengekalkan stamina dan kecergasannya pada tahap terbaik dan dia menjelaskan kunci utama kepada semua itu adalah disiplin, pemakanan serta pengamalan gaya hidup yang sihat.

“Paling utama adalah latihan, jangan tinggal latihan, sentiasa fokus kerana itu adalah ruang terbaik kita meningkatkan potensi diri.

“Bila sebut disiplin pula, disiplinkan diri tidak tidur lewat, makan minum jangan sebarangan, kalau tak merokok itu satu bonus, dan saya juga banyak membaca apa kaedah diamalkan penjaga gol-penjaga gol veteran sama ada tempatan atau antarabangsa, follow perkembangan mereka. Ini membantu saya untuk meningkatkan keupayaan diri sendiri,” ujar Rahimi.

Dia bermain selama dua tahun dengan pasukan itu, menjuarai Liga Futsal Brunei 2019 dan kemudiannya menoktahkan karier sebagai pemain pada 2018 sebelum mengambil alih peranan jurulatih penjaga gol pasukan itu daripada Faris Ahmad pada 2019.

Kecederaan jangka panjang dialami dua penjaga gol iaitu Afiq Abdul Rahman dan Zainulzahin Sinuan pada permulaan musim 2020, menyaksikan Rahimi kembali didaftarkan sebagai pemain bagi mengharungi MPFL 2020, tetapi tidak berpeluang untuk membuat kemunculan semula setelah pertandingan dibatalkan.

Ditanya adakah meninggalkan lapangan bolasepak satu kerugian, Mie berkata dia tidak pernah menyesal kerana futsal memberikannya lebih peluang dan kepuasan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.