Bintang bolasepak Israel buat benda ‘bodoh’ hiburkan diri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang PSV Eindhoven, Eran Zahavi menimbulkan kontroversi dan menjadi bahan kecaman di media sosial selepas dia memuatnaik gambar pemain Manchester United, Paul Pogba dan Amad Diallo yang telah diubahsuai mengibarkan bendera Israel.

Gambar asal yang viral sebelum ini adalah Paul Pogba dan Amad Diallo mengibarkan bendera Palestin yang diberikan oleh penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan menentang Fulham di Old Trafford yang berkesudahan seri 1-1.

Kedua-dua pemain beragama Islam itu mengibarkan bendera Palestin mengelilingi stadium sebelum Zahavi yang juga pemain antarabangsa Israel mengedit gambar berkenaan.

“Terima kasih, kami menghargai sokongan anda di seluruh dunia,” tulis pemain berusia 33 tahun itu di gambar yang sudah di edit.

Sebagai makluman, beratus penduduk terbunuh di Gaza sejak rejim Zionis Israel melakukan serangan ke atas Palestin dengan beberapa bintang bola sepak dunia menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Zahavi yang merupakan bekas pemenang kasut emas Liga Super China bersama Guangzhou R&F musim lalu, sebelum ini melakukan perkara sama ke atas gambar pemain Leicester City selepas kelab itu memenangi Piala FA, Sabtu lalu.

Hamza Choudhury dan Wesley Fofana dilihat memegang bendera Palestin mengelilingi Stadium Wembley selepas Leicester City menewaskan Chelsea 1-0.

Perkembangan terbaru dari Gaza, Israel akhirnya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula awal pagi ini selepas 11 hari membedil Semenanjung Gaza tanpa henti sehingga memusnahkan bandar tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menggelar langkah itu sebagai ‘sepakat dan tanpa syarat’.

Manakala tentera Hamas turut mengesahkan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘sepakat dan serentak’.

Langkah untuk mengenakan gencatan senjata itu diambil setelah mendapat tekanan penduduk dan pemimpin antarabangsa dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

Sejurus selepas berita tersebut diumumkan, ratusan penduduk Palestin memenuhi jalan-jalan di Gaza untuk meraikan berita gembira itu.

Mereka membunyikan hon kereta, melepaskan tembakan ke udara dan menangkap gambar sambil memegang senjata, selepas melalui minggu-minggu sukar dalam konflik berdarah itu.

Pertempuran antara Palestin dan Israel bermula pada 10 Mei lepas, selepas Israel mengusir beberapa penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis.

Ia adalah untuk memberi ruang kepada pendatang haram Israel menduduki kawasan tersebut selain pertempuran turut tercetus di Masjid Al-Aqsa.

Akibat konflik tersebut, Semenanjung Gaza musnah selepas Rejim Zionis melancarkan serangan berterusan yang telah membunuh 232 penduduk Palestin termasuk 65 kanak-kanak selain 1,900 turut tercedera.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.