Bintang Pahang Rangers dan Harimau Malaya sambut baik perancangan FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melangsungkan semula saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) disambut baik pemain bintang Pahang Rangers yang juga tonggak skuad pasukan kebangsaan Ridzwan Bakri.

Dalam laporan disiarkan Labola Malaya baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai, Datuk Rosmadi Ismail memberitahu saingan MPFL akan dilangsungkan paling awal pada pertengahan bulan Jun, iaitu selepas lebih setahun pertandingan dibatalkan.

Baca : Liga dijangka kembali pada bulan Jun, dilangsungkan secara karnival

Bagaimanapun, menurut Rosmadi, format pertandingan tidak lagi sama sebaliknya akan dilangsungkan secara karnival membabitkan enam sirkit di lima venue terpilih tetapi pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat FAM selepas semuanya dimuktamadkan, dalam masa sama mengambil kira situasi semasa Covid-19.

“Saya berpendapat sebarang idea untuk mengembalikan semula liga futsal sewajarnya diberikan sokongan, ini menunjukkan bahawa sukan ini tetap diberikan perhatian dan tidak diabaikan walaupun MPFL tidak sepopular Liga Malaysia (bolasepak).

“Hampir setahun tiada kepastian mengenai status MPFL, jadi sekarang sekurang-kurangnya sudah ada gambaran bahawa ia akan berlangsung pada Jun, walaupun lima bulan itu tempoh lama tetapi saya anggap ia tempoh yang ideal bagi semua pasukan untuk membuat persiapan dan pengurusan pasukan untuk membuat perancangan bila pemain-pemain boleh dikumpulkan dan latihan rasmi boleh bermula.

“Kalau diikutkan, kami di Pahang Rangers, walaupun liga dibatalkan dan tiada sebarang pengumuman susulan, sudah hampir dua bulan kembali menjalani latihan ringan dan workout di bawah kendalian jurulatih kecergasan Marta Cordero agar stamina dan fizikal tetap berada di tahap terbaik.

“Sejujurnya kaki ini sudah tidak sabar untuk kembali menendang bola dan bermain dalam perlawanan kompetitif, saya berharap semuanya akan berjalan mengikut perancangan dan yakin FAM akan membuat yang terbaik bagi memastikan kemeriahan futsal kembali,” kata Ridzwan yang berkongsi kedudukan penjaring terbanyak MPFL 2019 bersama-sama seorang lagi tonggak Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali.

Sebagai makluman, Pahang Rangers merupakan pasukan yang paling banyak diperkuatkan pemain kebangsaan, iaitu seramai tujuh pemain; selain Ridzwan dan Saiful Nizam, lima lagi pemain adalah Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hassan, Harith Naim, Awalluddin Mat Nawi dan Firdaus Ambiah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.