Bintang Piala Dunia Senegal, Papa Bouba Diop meninggal dunia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang Senegal ketika Piala Dunia 2002 di Korea Selatan/Jepun, Papa Bouba Diop meninggal dunia pada Ahad selepas sekian lama bertarung dengan masalah kesihatan.

Bouba Diop yang baru berusia 42 tahun cukup diingati susulan aksi heroic-nya di Piala Dunia 2002, di mana dia menjaringkan tiga gol dalam saingan Kumpulan A termasuk gol tunggal pada perlawanan pembukaan menentang Perancis.

Dia menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh El Hadji Diouf pada minit ke-30, menewaskan Fabian Barthez di gawang.

Dua lagi gol dijaringkannya ketika Senegal seri 3-3 menentang Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Senegal yang pertama kali layak ke Piala Dunia pada tahun itu mencipta kejutan melepasi peringkat kumpulan dengan menyingkirkan juara bertahan Perancis dan juga bekas juara Uruguay.

Mereka menewaskan Sweden 2-1 di pusingan kedua menerusi dua jaringan Henri Camara, namun langkahan Senegal dinoktahkan di peringkat suku akhir oleh Turki.

Kejayaan sensasi pada penampilan pertama itu bukan sahaja menjulang nama Bouba Diop tetapi juga beberapa pemain lain antaranya El Hadji Diouf, Lamine Diatta, Khalilou Fadiga, Henri Camara dan Aliou Cisse.

Bouba Diop yang boleh bermain sebagai pertahanan tengah atau pemain tengah bertahan memulakan karier di Senegal bersama ASC Diaraf sebelum beraksi di Switzerland bersama Vevey, Neuchatel Xamax dan Grasshoppers, memenangi gelaran Liga Super pada 2001.

Selepas bermain dengan kelab Ligue 1 Lens selama tiga musim dari 2002-2004, dia berhijrah ke Liga Perdana Inggeris dan mencipta nama bersama Fulham dan menjadi tonggak Portsmouth yang memenangi Piala FA 2008. Kelab terakhir yang diwakilinya adalah Birmingham City pada 2012.

Diop, yang memenangi 63 kaps senior bersama Senegal, turut merupakan sebahagian daripada pasukan yang mara ke final Piala Negara-Negara Afrika 2002, di mana mereka tewas kepada Cameroon menerusi penalti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.