Bojan Hodak : “Bukan mudah nak ikat JDT”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Meskipun terlepas peluang untuk menambah garam ke luka Johor Darul Takzim (JDT), pengendali KL City Bojan Hodak menganggap keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim pada Jumaat sebagai cukup bermakna.

Malah dia gembira barisan pemainnya tidak memberi laluan mudah seterusnya berjaya untuk membuatkan pendahulu Liga Super itu bekerja keras untuk mencuri satu mata.

“Bagi saya ia keputusan adil. Bila anda bermain dengan pasukan yang miliki pemain terbaik dalam negara, dengan bajet 10 kali ganda lebih besar atau lebih, saya rasa seri adalah keputusan yang baik.

“Kami boleh menang atau kami juga boleh tewas, menentang JDT bukan perlawanan yang mudah. Namun saya rasa dengan apa yang telah pemain tunjukkan, ia adil buat kami.

“Malah lebih penting kami tidak ulangi kesilapan-kesilapan mudah yang sering dibuat pada beberapa perlawanan lalu,” ujar Bojan Hodak.

Pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, KL City berada di depan menerusi jaringan Romel Morales pada minit akhir separuh masa pertama.

Romel Morales melepasi perangkap ofsaid dengan cukup bijak dan menerima hantaran oleh Fakhrul Aiman Sidek, sebelum mengawal bola dan merembat melepasi Farizal Marlias.

JDT pula menyamakan kedudukan pada minit ke-56, setelah pemain tengah Hariss Harun melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.

Ini adalah keputusan seri ketiga JDT dan kali keempat mereka mencicirkan mata musim ini, namun masih lagi kekal menerajui Liga Super dengan 24 mata.

Manakala keputusan seri keempat buat KL City menyaksikan mereka mengumpul 13 mata.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.