Bojan Hodak mahu ubah reputasi Kuala Lumpur sebagai pasukan elit

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Bojan Hodak tekad merubah wajah dan reputasi pasukan itu sebagai sebuah pasukan elit.

Beliau yang dilantik sebagai pengendali baru skuad warga kota mengakui Kuala Lumpur sentiasa bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Super menyaksikan pasukan beberapa kali tersingkir ke Liga Premier, terbaru pada 2018.

Menurut Bojan, kejayaan layak beraksi di divisyen teratas Liga Malaysia tidak akan bermakna sekiranya sesebuah pasukan itu gagal merangka pelan terbaik bagi memastikan mereka terus mampu bertahan untuk jangka panjang.

Justeru, itulah sasaran bekas pengendali skuad B-19 negara itu sebaik sahaja menerima tawaran mengendalikan skuad Kuala Lumpur agar pasukan dapat mengharungi musim 2021 dengan lebih gemilang berbanding musim-musim lalu.

“Saya tengok pasukan ini mempunyai kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda yang saya rasa mereka mampu untuk menghasilkan kerja yang cemerlang untuk pasukan musim ini.

“Saya mahu mereka ingat bahawa mereka asalnya datang daripada Liga Premier, dan kini apabila berada di Liga Super, semuanya akan berbeza dan mahu atau tidak, kita kena berusaha untuk kekal lebih lama dalam divisyen teratas ini.

“Bila saya nilai balik prestasi pasukan sebelum ini, apabila Kuala Lumpur kembali layak beraksi di Liga Super pada 2018 dan 2019, mereka sentiasa berada di kedudukan terbawah atau pun tiga tercorot sebelum akhirnya kembali semula ke Liga Premier pada tahun lalu.

“Jadi, kalau boleh saya tidak mahu lagi tengok perkara sama berulang setiap kali Kuala Lumpur layak ke Liga Super dan ini yang saya mahu ubah agar pasukan ini mampu bertahan untuk jangka masa lebih panjang bermula musim ini”, katanya.

Bojan Hodak mempunyai reputasi mengagumkan dalam arena bolasepak tempatan susulan kejayaan membawa Kelantan menjulang treble pada tahun 2012 selain merupakan jurulatih pertama memacu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super pada 2014.

Jurulatih berusia 50 tahun ini telah membimbing kelab Indonesia, PSM Makassar pada tahun lalu dan mensasarkan kejayaan lebih gemilang bersama Kuala Lumpur.

“Sebelum saya terima tawaran daripada Kuala Lumpur ini, banyak persoalan saya utarakan kepada Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur) dan beliau berjaya menyakinkan saya dengan misi dan pelan jangka masa panjang kelab ini.

“Tidak kira bekerja di Liga Indonesia atau di Liga Malaysia, apa yang saya utamakan adalah bagaimana sesebuah kelab itu bekerja kerana sekiranya kelab itu bergerak lebih profesional dan lebih tersusun, semestinya kita akan lebih jelas dengan hala tuju pasukan.

“Jadi, apabila saya dapat kembali ke Liga Malaysia, saya percaya dengan segala perancangan dan idea yang diutarakan oleh Stanley, bukannya hanya ingin tangkap muat dan sekadar fikir untuk dapat keputusan cepat sahaja seterusnya gagal di pertengahan jalan”, tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.