Bojan Hodak Pilihan TMJ Sebagai Jurulatih Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bojan Hodak adalah calon pilihan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya sekiranya beliau berpeluang menguruskan skuad kebangsaan.

Bekas kapten skuad kebangsaan Hairuddin Omar berkata perkara itu pernah dinyatakan sendiri oleh Tunku Ismail kepadanya ketika kedua-dua mereka berjumpa beberapa tahun lalu.

Menurut Hairuddin, pendedahan dibuatnya tidak sama sekali ada kena mengena dengan kedudukan Tan Cheng Hoe sekarang susulan kegagalan di Piala AFF 2020, sebaliknya sekadar berkongsi apa yang diborakkan bersama Tunku Ismail pada waktu itu.

“Suatu waktu dulu, saya pernah borak santai dengan TMJ (Tunku Ismail), saya dah lupa tahun bila. Masa tu saya diberi ruang mengadap TMJ atas urusan PFAM di JB. Masa tu beliau baru saje gugurkan Bojan Hodak dan Nenad Bacina daripada pasukan JDT selepas JDT menjuarai Liga Super buat pertama kali.

“Saya tanya siapa yang Tunku akan lantik jika Tunku berpeluang menguruskan pasukan kebangsaan dan beliau menjawab akan memilih Bojan Hodak. Saya tanya kenapa Bojan Hodak sedangkan Tunku sendiri pun buang dia daripada barisan kejurulatihan JDT.

“Beliau jawab di JDT kami ada falsafah permainan dan game-play Bojan tidak sesuai dengan falsafah JDT, tapi untuk pasukan kebangsaan beliau merasakan Bojan lebih sesuai kerana ada beberapa perkara yang pada pandangan beliau skuad negara boleh berjaya dan bertambah baik di bawah Bojan.

“Antaranya Bojan sudah kenal dan tahu kualiti pemain tempatan kita, dan Bojan sudah tahu standard atau kualiti pemain serta pasukan negara serantau. Malah Bojan juga sudah faham budaya sosial Malaysia, tahu macam mana nak menang lawan dengan pasukan serantau (ASEAN),” menurut Hairuddin.

Hairuddin Omar merupakan penolong jurulatih kepada Bojan Hodak ketika dia membawa skuad B-19 negara melakar sejarah gemilang muncul juara Kejohanan B-19 AFF pada 2018 yang juga pencapaian terbaik dalam sejarah skuad muda negara.

Di sebalik kejayaan yang dicapainya bersama skuad muda negara, Bojan Hodak terpaksa meninggalkan FAM pada 2019 kerana keterlanjurannya mengkritik sistem pembangunan bolasepak negara.

Pengendali dari Croatia itu diingati atas pencapaian hebatnya membawa Kelantan muncul juara treble pada 2012 dan baru-baru ini melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila membimbing KL City menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 sekaligus menoktahkan penantian 32 tahun pasukan itu untuk menjulang trofi berkenaan.

Dengan desakan supaya pengurusan bolasepak skuad kebangsaan diserahkan kepada Tunku Ismail semakin kuat dilaungkan, mungkinkah Bojan Hodak akan menjadi pilihan menggantikan Cheng Hoe sekiranya beliau mengambil alih?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.