Bojan Hodak nampaknya bersedia untuk membimbing skuad Harimau Malaya jika diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Tan Cheng Hoe.
Nama pengendali KL City FC itu secara tiba-tiba dikaitkan dengan skuad negara, setelah bekas penyerang kebangsaan Hairuddin Omar dalam posting di facebook peribadinya mendedahkan bahawa Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah menyatakan dia adalah calon terbaik ketua jurulatih Harimau Malaya.
Berita Berkaitan : Bojan Hodak Pilihan TMJ Sebagai Jurulatih Harimau Malaya
Menurut Bojan Hodak mengenai perkara itu dalam Nadi Arena, “Saya tidak fikir ia sesuatu yang mengejutkan kerana saya memiliki musim yang baik bersama KL City dan pada akhirnya, saya juga pernah bekerja dalam skuad B-20 selain beberapa kelab di sini.
“Jadi, saya tidak fikir ada sesiapa di wilayah ini memiliki kejayaan bersama pelbagai kelab seperti saya. Ia satu perkara biasa, jadi ia tidak mengejutkan.”
Bojan Hodak turut mengakui dia cukup memahami sistem FAM dalam masa sama memberitahu bahawa adalah menjadi impiannya untuk mengendalikan sebuah pasukan kebangsaan dan bersedia untuk berbincang jika spekulasi itu beralih kepada kenyataan.
“Ia mungkin berlaku tetapi ia masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana Malaysia masih mempunyai ketua jurulatih. Tan Cheng Hoe masih berada di sana. Masih banyak perkara yang akan berlaku, jadi ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.
“Secara normalnya, jawatan ketua jurulatih merupakan jawatan tertinggi buat setiap orang tetapi bukan saya yang akan menentukannya,” ujarnya lagi.
Jurulatih @KLCityFootball , Bojan Hodak akui tidak 'terkejut' dikaitkan sebagai pengganti jurulatih skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe. Bojan juga percaya bahawa dia faham tentang bagaimana FAM berfungsi. pic.twitter.com/EGgrj0xSL5
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 23, 2021
Sebagai rekod, Bojan Hodak memulakan karier kejurulatihannya di Malaysia bersama pasukan realiti televisyen, UPB My Team pada 2006 sebelum berkelana ke Kemboja untuk membimbing Phnom Penh Crown, sebelum menjadi penolong jurulatih di kelab China, Shandong Luneng.
Dia kembali ke Liga Malaysia untuk menggantikan Peter Butler di Kelantan pada 2012 dan membimbing pasukan itu menjulang treble bersejarah, seterusnya mengukuhkan reputasi sebagai salah seorang jurulatih terbaik dalam negara dengan membawa JDT menjulang Liga Super buat pertama kali pada 2014.
Pada 2016, Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC sebelum dilamar FAM untuk membimbing skuad B-19 negara pada tahun berikutnya. Satu lagi sejarah dicipta jurulatih berasal dari Croatia itu apabila membawa skuad muda negara muncul juara Kejohanan B-19 AFF buat pertama kali pada 2018.
Manakala pada tahun ini, dia membantu KL City melakar kejutan besar menjuarai Piala Malaysia dengan menundukkan JDT dalam aksi final, seterusnya menoktahkan penantian 32 tahun pasukan itu menjulang piala berprestij tersebut.