Bojan Hodak tahu macam mana nak perangkap JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kuala Lumpur City FC tekad mahu menambah garam ke luka Johor Darul Takzim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super 2021 di Cheras, pada Jumaat.

Pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui sudah ada ramuan untuk memastikan JDT yang kecundang kepada Terengganu FC pada 24 April lalu, berputih mata sekali lagi.

“Kita bermain di tempat sendiri dan kita perlu dapatkan tiga mata. Tak kira kita lawan siapa, yang penting apabila bermain di tempat sendiri kita harus mencatat kemenangan.

“Memang barisan pemain JDT adalah yang terbaik di negara ini dan kami akan lalui satu perlawanan yang sukar.

“Tetapi saya sudah ada perancangan tersendiri bagaimana untuk meraih keputusan positif. Saya harap pemain sedia dan akan beri komitmen dalam aksi itu nanti,” kata Bojan Hodak yang pernah membimbing JDT menjulang kejuaraan Liga Super buat pertama kali pada 2014.

Sebagai rekod, kekalahan JDT minggu lalu bukan sahaja merupakan kekalahan pertama mereka musim ini, tetapi ia juga kekalahan pertama dalam saingan Liga Super selepas 21 perlawanan, dalam masa sama kekalahan pertama di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun skuad Benjamin Mora masih lagi menerajui liga dengan kelebihan dua mata mengatasi Terengganu.

KL City pula dikecewakan Kedah Darul Aman minggu lalu menerusi dua gol masa kecederaan yang menyaksikan mereka tewas 2-3 dalam perlawanan penuh dramatik.

Ia kekalahan keempat skuad warga kota musim ini menyaksikan mereka ketika ini menghuni tangga ketujuh dengan 12 mata.

Bojan sebelum ini menyatakan kebimbangannya mengenai kecenderungan pasukannya melepaskan gol minit akhir selain kegagalan pemain simpanan memberi impak yang dimahukan.

Mereka melepaskan gol minit akhir dalam empat perlawanan terakhir berturut-turut iaitu menentang PJ City, Sri Pahang, Terengganu dan KDA, selain Selangor pada perlawanan ketiga sekaligus kehilangan lapan mata.

“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.