Bojan Hodak Turunkan Pemain Simpanan Lawan JDT

Bojan Hodak
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kuala Lumpur City melakukan rombakan besar dan membawa masuk himpunan pemain berkualiti tinggi ke dalam pasukan musim ini.

Tetapi perlu diakui rekrut terbaik KL City adalah ketua jurulatih Bojan Hodak yang membimbing mereka mengharungi musim terbaik sepanjang bersaing di Liga Super.

Malah pengendali dari Croatia itu turut memacu KL City menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas di laman sendiri sepanjang musim ini.

“Banyak pihak menghubungi saya termasuk wartawan dengan mengatakan ini merupakan sejarah terbaik pasukan di liga sejak lebih 30 tahun lalu dan sememangnya saya serta semua berada di sini begitu gembira.

“Apa yang terjadi membuktikan kelab semakin berada di dalam tahap terbaik dan saya mahu ini hanya merupakan langkah permulaan kepada masa depan KL City.

“Kami juga belum pernah tewas dalam 11 perlawanan terakhir di liga, satu petanda yang begitu baik bagi kami hadapi Piala Malaysia yang selalunya terbuka kepada mana-mana pasukan untuk memenanginya.

“Kami bernasib baik kerana tidak ada mana-mana pemain yang alami kecederaan jangka panjang kecuali penyerang (Kyrian Nwabueze) dan Hadin Azman yang alami kecederaan di bahagian miniskus.

“Saya yakin jika kita punyai semua pemain, kami boleh menentang sesiapa sahaja di kejohanan Piala Malaysia dan sememangnya saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain,” katanya yang pernah menjulang trofi tersebut bersama Kelantan pada 2012.

KL City yang menduduki tangga keenam Liga Super telah meraih tujuh kemenangan dan empat keputusan seri sepanjang 11 perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, musim ini.

Mereka berjaya mengejutkan beberapa pasukan pilihan seperti Kedah Darul Aman FC (2-1) dan Terengganu FC (1-0) selain mengikat juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (1-1).

Menjelang pertemuan dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad ini, Bojan dijangka akan menurunkan beberapa muka baharu yang berada di bangku simpanan.

Menurutnya, perancangan itu dibuat berikutan sebarang keputusan di Johor sudah tidak banyak memberikan perubahan kepada kedudukan liga selain berikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia.

“Kami tidak ada sebarang tekanan bagi hadapi JDT pada perlawanan terakhir liga nanti dan saya sedia menggunakan beberapa pemain yang jarang diturunkan bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.

“Ini peluang kepada pemain-pemain simpanan membuktikan kemampuan mereka kepada saya selepas jarang diturunkan pada musim ini.

“Saya mahu pemain utama mendapat sedikit rehat kerana mahu berikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia memandangkan aksi terakhir ini tidak berikan kesan kepada kedudukan liga sama ada kami menang atau kalah,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.