“Bolasepak kita bukan macam luar negara, boleh jana pendapatan” – DS Vida

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ahli perniagaan yang juga usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengakui berminat untuk kembali terlibat di dalam kancah bolasepak tempatan, di sebalik penglibatan yang gagal bersama pasukan Kelantan FC pada tahun 2015.

Beliau yang dikenali sebagai Vida mendedahkan ada pasukan telah menghubunginya untuk menjadi penaja atau pemilik baru, namun tidak mahu membuat keputusan terburu-buru untuk sekali lagi ‘menghulur kepala’ dalam bidang yang bukan kepakarannya.

Vida sebelum ini bersetuju menaja pasukan Kelantan selama dua tahun pada 2016 dan 2017 dengan meletakkan pelbagai syarat namun menarik diri tidak sampai setahun. Dia selepas itu pernah dikaitkan dengan pasukan lain seperti Kedah dan Kuala Lumpur.

“Memang ada yang sudah risik (jadi pemilik baharu) dan saya pun memang minat. Apa-apa pun kena lihat dulu deal bagaimana. Saya perlu kaji pro dan kontra jika beli pasukan itu. Jika kena gaya, saya pasti setuju.

“Bola sepak kita bukan seperti di luar negara yang boleh jana pendapatan. Banyak perkara perlu saya fikir dan teliti sebab masalah utama kelab bola sepak di negara ini adalah membabitkan gaji pemain dan pengurusan,” katanya dilaporkan Utusan Malaysia.

Difahamkan, pasukan yang dimaksudkan Vida adalah Perak FC yang diketahui sedang mencari penaja atau pelabur yang berminat mengambil alih pasukan bagi menyelesaikan kemelut kewangan mereka.

Vida yang berasal dari Kelantan, telah lama menetap di Perak jadi sentimen itu sedikit sebanyak dijangka mempengaruhi keputusan yang akan dibuatnya.

Kemelut kewangan kritikal Perak FC menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Ali Naizali meletak jawatan dan mereka juga telah kehilangan empat tonggak utama iaitu Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang menyertai Johor Darul Takzim serta D.Kenny Pallraj dan J.Parthiban yang menyertai KL City FC.

Beberapa pemain lain seperti Nazirul Naim, Shakir Hamzah, Firdaus Saiyadi dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy juga difahamkan telah dirisik oleh pasukan lain dan akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat.

Perak FC ketika ini  sedang bergelut di zon penyingkiran, menduduki tangga kesepuluh dengan hanya 12 mata dari 13 perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.