Bolasepak mungkin berkubur, kerana ia bukan sukan orang kaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Arena bolasepak tempatan sekali lagi menerima tamparan apabila peringkat suku akhir Piala Malaysia diarah ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri di Semenanjung.

Apabila berlaku PKPB dan sebagainya bolasepak pasti menjadi mangsa pertama yang diarahkan menghentikan operasi sedangkan sejak Liga Malaysia kembali bersambung belum ada satu kluster pun melibatkan pemain dan mereka yang bernaung bawah sukan bolasepak.

Pasukan berhabis puluhan ribu ringgit untuk mengendalikan ujian calitan, dan mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.

Malaysian Football League bekerja keras dalam memastikan tiada penularan Covid-19 dari sukan bolasepak (jangan buat-buat tanya penularan mendadak ketika ini disebabkan siapa) tetapi dengan mudah ia ditangguhkan ketika hanya ada tujuh perlawanan sahaja untuk dilangsungkan.

Berbeza pula dengan sukan golf yang masih diberikan kebenaran untuk dimainkan walaupun pernah wujud kluster di beberapa kelab golf terkemuka tanah air.

Mungkin hal ini kerana golf adalah sukan kegemaran orang kaya, malah mempunyai kepentingan tersendiri untuk diteruskan.

Sekolah ditutup, masjid dan rumah ibadat serta pejabat dihadkan bilangan pengunjung, bolasepak ditangguh tetapi golf tetap tenang kerana teknik mengampu di padang golf masih menjadi kebiasaan orang ‘ada-ada’ dan orang politik di negara ini.

Pelbagai program hiburan termasuk Anugerah Bintang Popular juga boleh diteruskan, tetapi tidak bolasepak, kerana ia masih dianggap sukan orang miskin dan sukan rakyat marhaen.

Mereka langsung tidak terfikir tentang kontrak pemain (kebanyakan pemain kontrak mereka berakhir pada hujung November malah ada yang sudah tamat pada Oktober), isu penajaan, peluang pekerjaan.

Dalam kata lain bukan sahaja industri boleh terjejas teruk, tapi boleh berkubur tanpa batu nisan.

Inilah yang terjadi apabila golongan kaya dan berkedudukan sudah tidak lagi memandang tinggi kepada sukan bola sepak. Muncul apabila final dan sesi mengambil gambar sahaja. Selagi perkara ini berlaku selagi itulah bola sepak akan kekal menjadi mangsa buli.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.