Bolehkah bintang Terengganu FC ini pulihkan semula karier selepas kena ACL kali ketiga?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Terengganu FC, Azalinullah Alias mengakui bimbang dan hampir berputus asa memikirkan bagaimana mahu memulihkan semula kariernya selepas dia mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) buat kali ketiga dan dijangka terlepas keseluruhan baki saingan Liga Super 2021.

Pemain berusia 25 tahun ini mengalami kecederaan serius itu ketika menentang Melaka United FC pada 17 Mac lalu dan proses pemulihan akan memakan masa antara enam sehingga sembilan bulan untuk kembali sembuh sepenuhnya.

Azalinullah sebelum ini mengalami ACL pada 2015 ketika bersama Harimau Muda C dan kemudiannya pada tahun 2019, dan dia sama sekali tidak menjangka mimpi ngeri itu kembali melanda dirinya buat kali ketiga.

Bagaimanapun, dia cuba untuk mengambil positif dugaan yang dihadapi ini dan tumpuannya kini adalah memastikan proses pemulihan berjalan lebih lancar.

“Memang awal-awal saya rasa macam dah tiada harapan dan rasa nak putus asa sebab baru nak mula beraksi dengan baik musim ini, tapi tak sangka dapat ACL pula.

“Cuma bila fikir balik, tiada guna untuk saya terus rasa seperti itu sebab benda sudah jadi, dan sekarang memang saya sangat bersemangat untuk fokus kepada proses pemulihan supaya dapat bangkit dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Sekarang saya tengah tunggu untuk melakukan pembedahan pada awal April depan dan selepas itu akan berusaha untuk mendapatkan kembali kecergasan walaupun saya tahu peluang agak tipis untuk beraksi kembali pada musim ini,” jelasnya.

Meskipun hanya mampu memberi sokongan daripada luar, Azalinullah positif skuad kendalian Nafuzi Zain ini akan terus memberi persaingan sengit untuk mencabar kedudukan teratas liga selain dapat membuktikan sesuatu dalam pentas Piala AFC 2021.

“Saya harap rakan-rakan akan terus bersatu untuk memberi saingan sengit memandangkan kita juga dah bermula dengan baik pada awal musim, dan usaha ini tidak boleh terhenti sampai situ sahaja.

“Sekarang pemain baharu pun ramai, dan saya percaya mereka akan dapat melakar kejutan untuk perlawanan-perlawanan akan datang nanti.

“Saya teringin juga nak kembali ke padang pada aksi-aksi terakhir liga di penghujung musim kalau dapat pulih dengan cepat, cuma saya rasa sebaikya saya tidak perlu tergesa-gesa untuk elak perkara tidak diingini berlaku”, tambahnya.

Foto : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.