Siapakah di antara Negeri Sembilan dan Johor Darul Takzim bakal merasai kekalahan pertama dalam saingan Liga Super musim ini?
Kedua-dua pasukan akan bertembung pada Rabu, dengan masing-masing belum tewas dalam kempen liga – Negeri Sembilan setelah mengharungi enam perlawanan manakala JDT pula selepas empat perlawanan.
Lebih menarik, dua pasukan ini ketika ini berada di kedudukan dua teratas Liga Super – skuad bimbingan K.Devan memimpin carta liga dengan 14 mata manakala JDT mengekori dengan dua mata di belakang sekaligus menjanjikan perlawanan sengit dan menghiburkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Di atas kertas, sudah tentunya JDT dianggap sebagai pilihan tanpa perlu dijelaskan sebabnya namun Negeri Sembilan sudah tentunya tidak mahu memberi laluan mudah malah sedaya upaya mahu cuba untuk mencipta kejutan.
Mungkin keputusan seri pun sudah cukup untuk menggembirakan mereka mengambil kira beza reputasi selain hakikat bahawa Negeri Sembilan adalah pendatang baru Liga Super.
JDT yang menang kesemua empat perlawanan setakat ini, bakal menyandarkan kepada kombinasi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri untuk memburu jaringan, namun mereka perlu terlebih dahulu merobohkan kekebalan penjaga gol skuad hoben jang hoben, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Syihan Hazmi ketika ini hanya bolos enam gol dan dia semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi, namun dia sendiri mengakui tugas yang cukup berat untuk mengawal gawang bagi memastikan pasukan tidak bolos apatah lagi serangan JDT diketahui cukup berbahaya.
“Kita sedar JDT merupakan pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sengit pada malam esok (Rabu) sebab dua-dua sedang konsisten tanpa tewas.
“Tetapi dalam bola sepak, kita susah nak jangka sebab apa-apa sahaja boleh berlaku dan selagi perlawanan masih belum bermula, susah kita nak cakap siapa yang mungkin menang atau sebaliknya.
“Yang penting, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik sambil berharap kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan”, ujar pemain kelahiran Kelantan itu.
Bekas penjaga gol skuad B-23 negara itu tidak menolak kariernya kini di landasan yang tepat apabila menampilkan aksi tidak mengecewakan selepas diberi kepercayaan beraksi penuh dalam semua perlawanan.
“Memang banyak peningkatan dalam diri sejak bersama pasukan ini dan insyaAllah saya akan terus berusaha untuk beraksi lebih cemerlang”, tambahnya.