Boros & Berjoli Sakan, Azmeer Yusof Pernah Rasa Dirinya Paling Bodoh Di Dunia

Azmeer Yusof
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertahanan Kedah, Azmeer Yusof memberi nasihat kepada pemain-pemain muda yang sedang merasa nikmat gaji besar agar tidak boros berbelanja dan memikirkan masa depan.

Berkongsi pengalaman peribadi di facebook, pemain itu memberitahu dia pernah melakukan kesilapan apabila menghabiskan duit kepada benda tidak penting dan pada satu ketika memiliki sehingga tujuh buah kereta, dan dia menyesali tindakan itu.

“Permulaan hidup saya cukup mewah. Dengan gaji tinggi, saya tak fikir langsung untuk simpan dan beli rumah atau labur dalam apa-apa yang menguntungkan.

“Zaman muda pegang banyak duit, sudah tentu tak fikir apa-apa. Sekarang dah masuk 2020, umur pun dah cecah 30-an masih tak habis bayar hutang-hutang.

“Saya rasa seperti sayalah lelaki paling bodoh di dunia! Dengan gaji yang saya dapat sekitar 2009-2019, saya boleh jer selesaikan semua hutang, tapi saya tak dapat, kenapa?

“Beberapa perkara bodoh yang saya buat, mohon KAD KREDIT, bukan satu tapi lima! Buat pinjaman peribadi dan paling teruk beli kereta.

“Satria Neo, Honda City, Mitsubishi Lancer, Audi, Honda FD, Vellfire, 4×4 DMAX. Gila kan?? Mana rumah? Kalaulah saya boleh undur semula masa,” ujarnya.

Tambah Azmeer, “Pada 2014 saya cuba nak beli rumah tapi pinjaman tak lepas. Sebab apa? Sebab pinjaman peribadi, kad kredit, kereta dan lain-lain. Bodoh kan?

“Jadi apa saya buat selepas itu, saya berjanji dengan diri saya saya akan jual semua kereta saya, kecuali Vellfire sebab kereta tu saya niatkan untuk kegunaan mak dan ayah saya.

“Kedua, selesaikan semua hutang kad kredit dan ketiga buat bayaran penuh pinjaman peribadi.

“Sebelum ini komitmen saya cecah RM10,000 sebulan. Sekarang komitmen saya semakin sikit dan tak pening kepala jika gaji tak masuk atau apa-apa terjadi dalam kerjaya saya,” katanya yang sudah memiliki rumah sendiri di Alor Star.

Justeru Azmeer menasihatkan agar, “Jangan mohon kad kredit kalau tidak disiplin untuk membayar. Jangan mohon pinjaman peribadi dan simpan duit dalam Unit Amanah, Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau tabung. Jangan beli kereta dulu sebelum beli rumah kecuali beli kereta terpakai atau murah.

“Kurangkan membeli belah benda yang mahal tetapi tidak digunakan dan beli emas. Insurans juga penting sebagai perlindungan dan berhenti merokok serta beli rumah.”

Foto kredit : KFA Media

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.