Selepas berakhir penyertaan di Sukan SEA 2021 yang mana Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir, tumpuan skuad B-23 negara kini terarah pula kepada Piala AFC B-23 bulan depan.
Pengendali pasukan, Brad Maloney kembali mengumpulkan pemainnya selepas memberi mereka beberapa hari untuk berehat dan sudahpun memberi bayangan akan mengekalkan skuad sama itu di Uzbekistan nanti setelah berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan mereka.
Brad Maloney awal-awal lagi telah kehilangan khidmat pemain seperti Arif Aiman dan Akhyar Rashid yang mana khidmat mereka ditagih skuad senior untuk pusingan kelayakan Piala Asia, tetapi dia sebenarnya boleh memanggil beberapa nama lain yang tidak berada dalam radar Kim Pan-gon untuk memperkuatkan pasukan.
Antaranya adalah dua pemain JDT iaitu Nathaniel Shio Hong Wan dan Ramadhan Saifullah – kedua-dua mereka tiada dalam senarai panggilan terbaru Kim Pan-gon untuk kem latihan kali ini walaupun nama mereka pernah tersenarai pada panggilan pertama pada bulan Mac lalu.
Nama Ramadhan hanya berada dalam senarai menunggu dan bermakna khidmatnya bersama-sama Hong Wan – kedua-duanya berusia 21 tahun – boleh ditagih Brad Maloney namun ini jawapan yang diberikan pengendali itu.
“Kita sentiasa melihat pemain terbaik yang ‘available’ dalam pasukan Sukan Sea dan pintu sentiasa terbuka untuk pemain baru, dan kita akan buat keputusan sebelum kita berangkat (ke Uzbekistan) Jumaat ini…dan kita cuba sediakan pasukan terbaik.
“Jika pemain itu ‘available’, pintu sentiasa terbuka. Tapi pemain yang ada sekarang juga sudah bersama pasukan agak lama, dan sudah berusaha sepanjang persiapan sebelum ini dan berhak diberi peluang.
“Tapi jika ada pemain lain yang menyertai latihan dan pemilihan, apa salahnya untuk pertimbangkan,” katanya dipetik dari Arena Metro.
Dia juga akur terpaksa melupakan khidmat pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland yang beraksi dengan SJK Seinajoki, Nooa Laine kerana masalah dokumentasi yang belum selesai.
“Nooa menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan sebelum ini, tetapi kita masih lagi perlu menanti dokumentasinya seperti pasport yang memerlukan masa.
“Pasukan berada dalam keadaan seimbang dan saya sedia beri peluang, tetapi disebabkan masalah dokumentasi yang perlukan masa, kami terpaksa pergi tanpa khidmatnya. Tapi dia memang berjaya menambat perhatian kami dalam kem latihan sebelum ini,” tambahnya lagi.