Brendan Gan nafi spekulasi sertai kelab juara V-League

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Selangor dan juga Harimau Malaya, Brendan Gan menafikan spekulasi bahawa dia akan menjadi rekrut terbaru pasukan juara Liga Vietnam (V-League 1) bagi saingan musim 2021 sepertimana dilaporkan oleh Goal Vietnam dalam laporan bertajuk Viettel nham ngoi sao 8 ty dong cua Malaysia?

“Ianya berita palsu, saya adalah (pemain) Red Giants dan ada banyak mahu dicapai bersama Selangor pada musim 2021,” ujar Brendan Gan.

Viettel yang akan bermain dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL 2021) masih belum mengisi kekosongan slot import Asia dan media tempatan di Vietnam melaporkan Brendan Gan menjadi sasaran berikutan aksi cemerlang ditunjukkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu bersama Harimau Malaya.

Pasukan dalam V-League 1 boleh menyenaraikan tiga pemain import dan seorang pemain naturalisasi di dalam skuad tetapi kelebihan diberikan kepada pasukan yang bermain di pentas Asia (ACL dan Piala AFC) di mana mereka boleh menyenaraikan empat import (seorang import Asia) dan seorang pemain naturalisasi.

Dengan kemasukan bekas bintang skuad B-17 Brazil pada 2011, Pedro Paulo dari Saigon FC baru-baru ini, Viettel mempunyai empat import dari Brazil justeru mereka dijangka melepaskan salah seorang pemain sama ada Bruno Cantanhede, Walter Luiz Araujo ataupun Caique Lemes untuk memberi ruang kepada kemasukan pemain dari Asia.

Sebagai rekod, Brendan Gan datang ke Malaysia pada 2012 ketika Persatuan Bolasepak Malaysia membenarkan pemain import untuk mewarnai semula Liga Malaysia.

Dia menyarung jersi Sabah atas kapasiti pemain import dan selepas setahun kembali bermain di Liga Australia.

Pemain berusia 33 tahun itu kemudiannya kembali ke Liga Malaysia apabila dipancing Kelantan, dan menerusi usaha Tan Sri Annuar Musa (Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan ketika itu) dia mendapat kerakyatan Malaysia sekaligus membolehkannya didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Brendan Gan bangkit dua kali daripada kecederaan ‘pemusnah karier’ Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada awal 2015 dan penghujung 2016, dan kembali sebagai pemain yang lebih baik apabila disambar Perak pada 2018.

Setelah dua musim bersama Perak, dia menyertai pasukan berbelanja besar Selangor bagi musim 2020 tetapi penularan Covid-19 membataskan peluang untuknya melakukan sesuatu yang luar biasa untuk membantu Red Giants mencapai sasaran bermain di Piala AFC.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.