Bekas pemain import Kelantan, Bruno Lopes bersimpati dengan nasib menimpa pasukan itu dan menyifatkan kejatuhan mereka adalah disebabkan kerana adanya orang yang tidak tahu menguruskan bolasepak di dalam Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
“Kelantan antara kelab besar di Malaysia dan mempunyai penyokong yang hebat, tidak seharusnya mereka melalui detik begini. Sayang sekali penyokong menjadi mangsa ketidakcekapan pengurusan, Kelantan jatuh kerana adanya orang yang tidak tahu mengurus sebuah persatuan bolasepak.
“Saya boleh kata ia bermula dengan orang yang bertanggungjawab membawa saya datang bermain di sini pada 2018, mereka menjahanamkan kelab dan juga karier saya. Hampir dua tahun berlalu malang sekali tiada apa yang berubah walaupun orang di dalamnya berubah, jika mereka sayangkan kelab dan penyokong, pastinya mereka lebih serius dan bertanggungjawab,” katanya kepada LabolaMalaya.
Walaupun Bruno tidak menamakan mana-mana individu, adalah diketahui semua bahawa dia dibawa masuk ke Kelantan oleh Presiden KAFA ketika itu Bibi Ramjani Ilias Khan.
Baru beberapa perlawanan diharungi, Bruno menjadi sasaran kritikan dan kemudian ditamatkan kontrak secara pra-matang. Dia cuba berunding tetapi tidak dilayan akhirnya dia membawa kes tersebut kepada FIFA.
“Jika saya tahu semua ini akan terjadi, dan kalaulah saya boleh undur masa, saya tidak akan meninggalkan Persija Jakarta. Saya keluar dari Kelantan dengan menanggung kecederaan, sukar mendapat pasukan baru, ia pengalaman buruk dalam perjalanan karier saya. Saya bergelut untuk kembali dan beraksi dengan kelab kecil di Brazil, tahun 2019 yang sangat sukar buat saya,” tambah Bruno.
Bruno juga menyatakan harapan agar Kelantan akan bangkit menjadi pasukan digeruni, seperti suatu masa dulu.
“Sejujurnya walaupun kecewa dengan apa berlaku, saya harap Kelantan akan bangkit, saya hormat dan mengagumi penyokong mereka. Mereka ada sesuatu yang tiada pada penyokong lain.
“Walaupun individu di dalam pengurusan sudah berubah, nasihat saya jangan khianati pemain, jangan khianati penyokong. Persatuan bukan sahaja memerlukan orang yang ada jiwa bola, tetapi perlu juga ada kecekapan dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Foto : TRWFC